11 September 2010

1999 – 2000: Tenggelam di SIS, Menyerlah di JPN dan PPK

Pada 1 Jun 1999 saya telah bertukar ke SMK Idris Shah, Gopeng dan mengajar Bahasa Melayu tingkatan 2. Sumbangan saya di sekolah ini agak tenggelam. Di sekolah ini saya menimba pengalaman mengajar pelajar berbilang kaum yang berprestasi rendah termasuk tidak boleh membaca dan menulis. Saya melaksanakan program pemulihan termasuk menggunakan buku-buku aktiviti sekolah rendah untuk membantu mereka membaca dan menulis.
Walau bagaimanapun, ketika bertugas di sini saya berpeluang memberi sumbangan di peringkat negeri dan kebangsaan dalam bidang teknologi maklumat (IT). Saya sering dijemput membantu Jabatan Pelajaran Negeri Perak melasanakan projek mereka bentuk laman web akademiknet dan turut menyumbang tenaga dan kemahiran dalam projek mereka bentuk laman web myschoolnet Pusat Perkembangan Kurikulum, Kuala Lumpur. Di samping itu saya juga sering dijemput sebagai fasilitator kursus, bengkel dan seminar IT anjuran kedua-dua institusi tersebut.
Kehadiran saya di SMK Idris Shah tidak lama. Titik tolaknya ialah selepas kecewa kereta baru saya dicalarkan oleh pelajar. Dalam perjalanan pulang ke rumah selepas peristiwa itu saya singgah di Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh dan berkesempatan berbincang dengan Encik Mohmad Guffri Alpiah kiranya khidmat dan kepakaran saya diperlukan di sekolah tersebut serta prosedur permohonan pertukaran. Akhirnya saya ditawarkan bertukar ke STAR pada 16 Februari 2000 dan hanya sempat berada selama lapan bulan sahaja di SMK Idris Shah.
Dalam tempoh yang singkat di SMK Idris Shah saya dapat menimba pengalaman menangani isu disiplin pelajar dan isu pelajar berprestasi rendah termasuk pelajar yang tidak boleh membaca dan menulis. Pengalaman ini benar-benar menguji kesabaran, kreativiti dan inovasi untuk menunaikan tanggungjawab sebagai guru khususnya bagi meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu di kalangan pelajar berbilang kaum sebagai alat komunikasi dan bahasa perpaduan di samping meningkatkan prestasi dalam peperiksaan awam. Saya sudah cuba sebaik mungkin untuk menunaikan tanggungjawab tersebut, tetapi saya sendiri kurang berpuas hati dengan hasil yang diperoleh.

05 September 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Salam Aidilfitri daripada: Cikgu Zabidi, Ruzita, Hafizuddin dan Amir Haziq

Assalamualaikum dan Salam Aidilfitri kepada semua saudara mara, sahabat handai, pelajar dan bekas pelajar serta semua pengunjung blog saya ini.
Setelah sebulan menunaikan ibadah puasa, kini kita berada di ambang 1 Syawal. Sama-samalah kita meraikan Hari Raya Aidilfitri ini dengan penuh kesyukuran kerana berjaya menyempurnakan ibadah puasa di madrasah Ramadan ini dengan jayanya dalam suasana yang aman damai.
Selama kita berkenalan, berkomunikasi dan berinteraksi; ada kalanya mata terlihat sesuatu yang mengaibkan, ada kalanya telinga terdengar sesuatu yang tidak menyenangkan, ada kalanya hati berbisik persepsi negatif dan salah sangka, ada kalanya minda terfikir sesuatu yang menyesatkan, ada kalanya mulut terucap kata-kata yang menyentuh perasaan dan ada kalanya tingkah laku dan tindakan menyalahi adat resam dan batasan.
Oleh kerana itu, saya dengan penuh keinsafan dan rasa rendah diri ingin mengambil peluang di bulan Ramadan yang penuh barakah dan Syawal yang mulia ini mohon diampunkan segala dosa dan dimaafkan segala kesalahan, kesilapan dan kelemahan. Mudah-mudahan dengan bermaaf-maafan ini kita semua dapat hidup dalam suasana yang lebih harmoni dan memperoleh kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Bagi mengeratkan lagi silaturrahim sesama kita, sudilah ziarahi kami di hari raya nanti. Pada 1 Syawal kami akan berhari raya di Kg. Anak Kurau. Hari raya kedua pula bersama keluarga mertua di Taman Kota Tampan, Lenggong. Lepas itu bolehlah kunjungi kami di RPT Tapisan Air, Ulu Kinta.
Mudah-mudahan melalui pertemuan itu nanti dapat eratkan jalinan silaturrahim sesama kita agar hubungan terus berkekalan. Akhir kata saya sekeluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.

02 September 2010

1993 – 1999: Meraih Kejayaan di SMKA Slim River



Sekolah ketiga saya ialah SMKA Slim River. Saya adalah antara peneroka pembukaan sekolah tersebut bersama Tuan Haji Ahmad bin Abdul Hamid dan Ustaz Ramli bin Hassan. Tugas kami pada peringkat awal bukanlah mengajar kerana pelajar belum masuk lagi pada masa itu. Setiap hari kami bergotong royong mengangkat dan menyusun perabut di bilik darjah dan asrama sebagai persediaan untuk menerima kehadiran pelajar kumpulan pertama.
Guru perempuan juga turut sama bekerja mengangkat barang di samping menyediakan makan minum. Pelajar tingkatan 1 batch pertama seramai 129 orang mula melaporkan pada 20 Jun 1993 manakala pelajar tingkatan 4 seramai 167 orang melaporkan diri pada 4 Julai 1993. Sebagai sekolah yang baru dibuka mereka terpaksa belajar dalam keadaan serba kekurangan dan persekitaran sekolah yang belum ceria.
Saya telah diberi kepercayaan untuk menjalankan tugas sebagai Guru Kanan Kokurikulum ketika itu. Oleh kerana di SMKA Slim River ada gelanggang tenis, saya telah mencadangkan kepada PPD untuk memasukkan permainan tenis dalam pertandingan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah Batang Padang dan cadangan saya diterima. Sejak itu SMKA Slim River menjadi tuan rumah pertandingan tenis peringkat daerah dan saban tahun saya membawa pelajar saya mewakili Daerah Batang Padang ke pertandingan peringkat negeri. Saya mendapatkan kerjasama pelajar IPSI untuk melatih pelajar saya dan mengelola pertandingan tenis di sekolah.
Jawatan lain yang disandang ketika bertugas di SMKA Slim River ialah Ketua Panitia Bahasa Melayu, Ketua Bidang Bahasa, Guru Koperasi, Setiausaha PIBG dan lain-lain lagi. Antara pengalaman menarik yang dilalui ialah menjadi Setiausaha Jawatankuasa Majlis Perasmian Sekolah yang dianggotai pegawai-pegawai KPM, JPN, PPD dan pelbagai agensi kerajaan yang terlibat. Saya dapat menimba pengalaman berharga apabila terlibat secara langsung merancang, melaksanakan dan menilai dari awal hingga selesai majlis perasmian sekolah yang disempurnakan oleh Paduka Seri Sultan Perak pada 21 Mei 1996, malah saya sendiri yang menyediakan teks titah ucapan perasmian oleh baginda Sultan.
Kejayaan lain yang dicapai ketika berkhidmat di SMKA Slim River dari tahun 1993 hingga 1999 adalah seperti berikut;
1. Johan Bola Sepak Senior PSKPP peringkat Negeri Perak tahun 1993.
2. Menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 1995.
3. Menerima Ijazah Sarjana Pendidikan (M.Ed) dari USM tahun 1997.
4. Johan Pertandingan Menulis Esei Hari Guru peringkat kebangsaan tahun 1997.
5. SPM no. 5 terbaik di Malaysia tahun 1998.
6. Johan pertandingan membina laman web anjuran Utusan Malaysia tahun 1999.
7. Banyak lagi kenangan manis yang tak sempat disenaraikan satu persatu.

Antara keistimewaan yang dirasai di SMKA Slim River ialah hubungan rapat dan mesra dengan bekas pelajar yang terjalin erat dari dulu hingga ke hari ini. Mereka menunjukkan rasa hormat dan penghargaan yang tinggi segala tunjuk ajar dan bimbingan saya kepada mereka dahulu. Saya turut berbangga mendengar khabar kejayaan mereka dalam pendidikan dan kerjaya. Yang lebih penting hasrat SMKA untuk melahirkan modal insan profesional islamik mula menampakkan hasilnya. Alhamdulillah. Semoga SMKA Slim River terus mencatat kejayaan cemerlang dalam akademik, kokurikulum, kepimpinan dan sahsiah.