14 August 2010

1990 – 1992: Pengalaman Pertama di SMK Dalat

Kata orang muda, cinta pertama abadi di hati selamanya. Begitu juga pengalaman saya menjadi guru terlatih di sekolah pertama masih segar dalam ingatan hingga kini. Malah dari pengalaman pertama itulah minat saya sebagai guru mula bercambah rasa cinta terhadap profesion yang mulia ini.
Bersedia untuk menaiki bot dari Sibu ke Dalat

Penempatan pertama selepas menamatkan latihan perguruan di IPSI ialah di Sarawak. Saya bersama guru-guru dari Semenanjung yang lain telah mengikuti kursus orientasi selama seminggu di Kuching pada 4 hingga 10 Jun 1990 untuk menyesuaikan diri dengan budaya pelbagai suku kaum dan etnik masyarakat Sarawak. Pendedahan awal dalam tempoh orientasi banyak membantu saya bersedia menempuh perjalanan selama tiga jam menaiki bot ekspres dari Sibu ke Dalat.


Lokasi menarik di SMK Dalat

Selepas melaporkan diri di SMK Dalat, Sibu pada 11 Jun 1990 bermulalah titian perjalanan saya sebagai guru terlatih. Sebagai anak kampung yang membesar di sawah, saya dapat menyesuaikan diri dengan cara hidup masyarakat tempatan dalam masa yang singkat. Saya amat bersyukur kerana kehadiran saya disambut dan diterima dengan baik sama ada di sekolah mahupun di kalangan masyarakat setempat yang majoritinya orang Melanau beragama Islam.

Cuba belajar cara hidup masyarakat Melanau

Saya diminta mengajar mengikut opsyen iaitu Bahasa Melayu tetapi minat saya lebih kepada Kesusasteraan Melayu kerana guru Bahasa Melayu sudah ramai dan peratus kelulusan Sastera agak rendah, sekitar 35% sahaja lulus. Tambahan pula ketika menuntut di Universiti Malaya, saya banyak mengikuti program Temu Puisi di Rumah Universiti dan majlis deklamasi sajak di Pasar Budaya, DBP, Berita Harian dan sebagainya. Pengalaman itu banyak membantu saya mengajar dan menjalankan aktiviti sastera dengan berkesan dan menarik. Saya memupuk minat pelajar terhadap subjek Kesusasteraan Melayu melalui aktiviti menulis sajak, menerbitkan buku antologi sajak ‘Benih Rumput’ yang ditulis oleh pelajar, mengadakan Malam Sastera sempena pelancaran buku tersebut dan mengadakan sayembara deklamasi puisi Ramadhan.

Aktiviti Malam Sastera

Selain itu saya juga diberi tanggungjawab mengarah pementasan teater ‘Gigi’ sempena Minggu Kesihatan Gigi anjuran Kementerian Kesihatan. Tetamu kehormat yang hadir ketika itu ialah Datuk Effendi Norwawi, ADUN Dalat (Suami Tiara Jacqualina sekarang). ‘Kegilaan’ pelajar dengan pelbagai kegiatan sastera yang saya perkenalkan berjaya melonjakkan prestasi Kesusasteraan Melayu dari 35% kepada 75% dalam peperiksaan SPM tahun 1991.

Juara Pidato Kenegaraan Bahagian Sibu 1990

Saya mula dikenali ramai apabila menjuarai pertandingan pidato kenegaraan sempena Bulan Bahasa pada akhir tahun 1990 dan sedutan pidato saya disiarkan melalui radio Sarawak. Sebagai juara saya juga telah ditemuramah oleh wartawan RTM dan disiarkan di radio. Mungkin melalui pelbagai aktiviti itu pengetua melihat bakat dan kebolehan yang ada pada diri saya hingga mendorong beliau melantik saya sebagai Penolong Kanan 1 pada tahun 1991.

Ketika bertugas sebagai Penolong Kanan 1

Saya juga turut dikenali di kalangan masyarakat setempat melalui bola sepak. Saya mewakili pasukan bola sepak SMK Dalat, PSKPP dan MAKSAK di posisi penjaga gol. Selepas bakat saya sebagai penjaga gol terserlah, pasukan bola sepak Spider FC pekan Dalat telah mempelawa saya menyertai pasukan mereka dalam liga bolasepak Daerah Dalat untuk merebut piala Datuk Effendi.

Bersama pasukan bolasepak SMK Dalat

Dalam perlawanan akhir yang menarik, hebat dan tegang itu akhir pasukan saya tewas tipis 1 – 0 selepas saya tersilap jangkaan akibat bola tersangkut di air. Walaupun tewas perlawanan akhir, saya mendapat pujian daripada pemain kedua-dua pasukan dan juga penonton kerana berjaya menyelamatkan banyak cubaan tepat ke pintu gol. Itulah perlawanan akhir paling hebat yang pernah saya tempuhi. Tak lupa juga batu yang dibaling mengenai belakang saya oleh penonton yang tidak puas hati dengan kehadiran saya sebagai pemain ‘import’ dari Semenanjung.

Bersama pasukan bolasepak Spider FC, Dalat

Sebelah malamnya pula diadakan konsert M. Daud Kilau yang diumumkan menerima pingat bergelar Datuk sehari sebelumnya. Beliau cukup gembira berbual dengan saya di belakang pentas, kerana sama-sama rakyat negeri Perak.

Sidang Redaksi Majalah Jerunai 1991

Semasa bertugas di SMK Dalat juga saya berpeluang menimba pengalaman sebagai pengawas SPM, ketua pemeriksa ujian lisan Bahasa Melayu, dan ketua pengawas peperiksaan amali SPM. Berbeza dengan di semenanjung, tugas menjadi pengawas peperiksaan sentiasa menjadi rebutan guru-guru di sana kerana kadar tuntutannya yang tinggi disebabkan jarak antara satu sekolah dengan sekolah yang lain agak jauh melayakkan guru-guru membuat tuntutan perjalanan, elaun makan dan elaun lojing. Sebagai Penolong Kanan, saya sering diminta mewakili Pengetua menghadiri majlis yang dihadiri pembesar-pembesar negeri dan pemimpin dari semenanjung. Antaranya TYT Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Zaidi, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abdul Taib Mahmud, Datuk Napsiah Omar, Datuk Effendy Norwawi dan lain-lain lagi.

Perkelahan di Pantai Oya bersama rakan guru dari Semenanjung

Bila jauh di rantau orang kadang-kadang timbul juga rasa rindu kampung halaman. Kalau dilayan perasaan itu pasti berlaku tekanan perasaan dan rasa bosan. Untuk mengatasinya saya libatkan diri dengan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan. Antaranya main bola, berkelah di pantai Oya, ziarah rumah pelajar dan mempelajari budaya masyarakat setempat.

Papan tanda ‘Wawasan 2020’ yang saya buat bersama Yao

Tidak lama saya bertugas di SMK Dalat. Saya bertukar balik ke Semenanjung pada bulan Disember 1992 selepas bertugas selama 2 tahun 6 bulan sahaja. Sebelum balik saya sempat siapkan papan tanda ‘Wawasan 2020’ dan ‘Sayangi SMKD’. Papan tanda itu saya buat bersama Yao Rafae.

Gambar kenangan di rumah Eric Ngieng pada Mac 2010

Gambar kenangan bersama Bibiana Patrict di Miri, Mac 2010

Saya juga masih ingat beberapa orang bekas pelajar yang rapat dengan saya dahulu dan juga berkesempatan berjumpa semula dengan Bibiana Patrict dan Eric Ngieng Shieng Chung di Miri pada bulan Mac 2010 serta Jaidi yang bertugas di kem PGA Ulu Kinta di samping Nelly, Tijah, Justina dan lain-lain di ruang Facebook.

Pemandangan kampung tradisional Melanau di Kg. Hilir, Dalat

Walaupun sekejap sahaja di Dalat, tetapi terlalu banyak pengalaman manis yang masih segar dalam ingatan hingga sekarang. Saat-saat indah bersama guru dan pelajar SMK Dalat, pergaulan dengan pelbagai peringkat masyarakat daerah Dalat, keunikan budaya pelbagai etnik, penglibatan dalam aktiviti sosial dan persekitaran alam semula jadi yang indah dan nyaman sesungguhnya telah meluaskan pengalaman dan meninggalkan nostalgia yang sukar dilupakan.

18 June 2010

1989: Minat Berputik Di TJHS dan SGPU

Minat saya untuk menceburi bidang perguruan mula timbul pada tahun 1989 ketika menimba pengalaman mengajar secara sambilan di Tsun Jin High School, Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur selepas menamatkan pengajian di Universiti Malaya. Saya diminta mengajar Bahasa Melayu dan Sejarah tingkatan 1, 3 dan 5.
Pertama kali berperanan sebagai guru dan berhadapan pula dengan pelajar Cina semuanya merupakan cabaran besar yang perlu saya hadapi ketika itu. Bagi menangani cabaran itu mengambil pendekatan positif dengan membaca buku-buku berkaitan pedagogi dan buku rujukan tambahan bagi subjek yang saya ajar. Kebetulan sekolah itu dekat dengan Dewan Bahasa dan Pustaka memudahkan saya mendapatkan buku-buku yang diperlukan. Selain mengajar di Tsun Jin High School, pada masa yang sama saya juga bekerja secara sambilan sebagai penyusun nota pelajaran Kesusasteraan Melayu di Sekolah Gaya Pos Utama (SGPU), Taman Maluri. Sebagai penulis nota pelajaran menuntut saya banyak membaca dan menulis.

Pendedahan awal sebagai guru sambilan di kedua-dua sekolah ini mula mempengaruhi tingkah laku dan pemikiran saya. Tambahan pula saya rasa cukup serasi dan sebati dengan jiwa saya setiap kali disapa dengan panggilan ‘Cikgu Zabidi’. Dari situ saya telah membuat keputusan untuk menceburi profesion perguruan sepenuh masa dan mengikuti Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) di Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI), Tanjung Malim sesi 1989-90.

11 June 2010

20 Tahun Meniti Perjalanan Sebagai Guru

Dulu (1990) dan kini (2010)

Tanggal 11 Jun 2010 genap 20 tahun perkhidmatan saya sebagai seorang guru terlatih. Dalam tempoh dua dekad itu saya pernah bertugas di lima buah sekolah iaitu SMK Dalat, Sarawak (1990-1992), SMK Dato’ Zulkifli Muhammad, Slim River (1993), SMKA Slim River (1993-1999), SMK Idris Shah, Gopeng (1999-2000) dan Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh (2000 hingga sekarang). Sekolah-sekolah tersebut terdiri daripada sekolah harian biasa, sekolah asrama harian, sekolah menengah kebangsaan agama dan sekolah berasrama penuh, sekolah bestari & sekolah kluster. Lokasi sekolah pula terdiri daripada sekolah luar bandar, pinggir bandar dan di tengah bandaraya.
Dari segi prestasi sekolah pula melibatkan sekolah berprestasi rendah, sederhana dan sekolah cemerlang. Antara jawatan penting yang pernah disandang ialah Penolong Kanan (1991-1992), Guru Kanan Kokurikulum (1993-1995), Guru Penyelaras Bestari (2002-2004), Guru Kanan Mata Pelajaran Kemanusiaan (2004-2009), Ketua Panitia (1990-2010) dan kini menyandang jawatan Guru Cemerlang Geografi DG48. Jawatan dalam bidang kokurikulum yang pernah disandang ialah guru penasihat Persatuan Bahasa Melayu, Kelab Sahabat Sastera, Kelab Tenis, Kelab Bola Tampar, Persatuan Pengguna, Koperasi Sekolah dan Kadet Bomba. Penglibatan dalam NGO pula terdiri daripada Ketua II Persatuan Penulis Batang Padang (Pedang), Ketua II Kelab Belia dan Budaya Bandaraya Ipoh (Kebebubi) dan Setiausaha PIBG. Kegiatan luar yang pernah disertai ialah menjadi pemain bola sepak PSKPP dan MAKSAK hingga ke peringkat negeri.
Antara sumbangan penting dalam bidang pendidikan nasional ialah terlibat dalam projek membina laman web myschoolnet Pusat Perkembangan Kurikulum, projek laman web akademiknet Jabatan Pelajaran Negeri Perak dan projek rintis sekolah bestari. Pencapaian cemerlang sekolah yang pernah dicapai ialah tempat kelima kebangsaan bagi SPM di SMKA Slim River (1998), tempat pertama kebangsaan bagi PMR di STAR (2006) dan tempat pertama negeri Perak bagi PMR dan SPM di STAR (2009). Saya juga telah mencapai kejayaan individu yang membanggakan apabila muncul johan pertandingan pidato kenegaraan peringkat Bahagian Sibu, Sarawak (1990), johan pertandingan bolasepak PSKPP (1993), johan peraduan menulis esei hari guru peringkat kebangsaan (1997), johan pertandingan membina bahan pengajaran dan pembelajaran (1999). Hasil inovasi dan kreativiti saya berjaya menerbitkan antologi sajak ‘Benih Rumput’ (1992), Laman Web Bahasa Melayu (1999), antologi sajak ‘Lepak Puisi’ (2002), takwim pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu (1995-1999) dan Geografi (2004-2010), sistem pengurusan pengajaran dan pembelajaran berkesan (2000-2010), modul One Step Ahead, modul latihan topikal yang komprehensif dan sistematik dan pelbagai modul lain untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Begitulah sedikit sebanyak catatan ringkas pengalaman dan pencapaian saya dalam meniti perjalanan sebagai guru selama dua dekad.

21 February 2010

REUNION PELAJAR SMKA SLIM RIVER




Alhamdulillah, dapat juga saya turut serta dalam Majlis Makan Malam Amal Alumni bersama-sama bekas pelajar dan guru SMKA Slim River pada hari Sabtu, 20 Februari 2010 jam 8.00 – 10.30 malam di Dewan Saidina Abu Bakar, SMKA Slim River. Dapatlah berjumpa semula dengan sahabat lama yang sama-sama bertugas membuka sekolah tersebut, iaitu Cikgu Zulkifli Awang bersama rakan-rakan guru dulu iaitu Cikgu Jasnani, Cikgu Rozita dan Cikgu Hendon. Turut hadir sama ialah Ustaz Wan Karim selaku Pengetua sekarang yang juga bekas Pensyarah saya di IPSI dulu dan Ustaz Sulaiman, bekas pelajar saya dulu yang kini menjadi guru di sekolah tersebut sekarang.
Ramai juga bekas pelajar saya sesi 1994-1998 dulu yang hadir, kebanyakannya sudah berumah tangga dan membawa bersama pasangan dan anak masing-masing. Sebahagian besarnya saya masih ingat rupa dan nama, tapi ada juga yang dah lupa. Maklumlah dah lama tak jumpa. Ada antaranya yang selalu jumpa dalam Facebook. Shukurlah kerana kemudahan ICT yang ada hari ini dapat merapatkan semula silaturrahim antara kita tanpa batasan dan sempadan. Saya turut berbangga dengan kejayaan mereka dalam pendidikan dan kerjaya. Dapat saya rumuskan bahawa matlamat penubuhan SMKA untuk melahirkan modal insan profesional islamik sudah berhasil. Tahniah semua!
Saya antara guru yang terawal bertugas di SMKA Slim River yang mula dibuka pada tahun 1993 bersama Pengetua pertama, Ustaz Ahmad bin Abd Hamid dan Penolong Kanan pertama Ustaz Ramli Hassan. Saya bertugas di sana sebagai guru Bahasa Melayu hingga tahun 1999. Antara jawatan yang disandang ialah Guru Kanan Kokurikulum, Guru Kanan Bahasa, Pengasas Kelab Tenis, Guru Koperasi, Guru ICT, Setiausaha PIBG dan lain-lain. Terlalu banyak pengalaman dan kenangan yang masih segar di ingatan.
Mudah-mudahan program seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dengan pelbagai aktiviti yang lebih menarik dan penyertaan yang lebih ramai lagi.

24 December 2009

TAHNIAH PELAJAR STAR: PMR CEMERLANG




Alhamdulillah, pencapaian pelajar STAR dalam PMR 2009 meningkat berbanding tahun lalu. Subjek Geografi yang saya ajar juga meningkat. Daripada 107 calon yang mengambil peperiksaan tersebut 85 orang (79.43%) mendapat 8A, 17 orang 7A (15.89%) dan 5 orang 6A (4.68%). Gred purata keseluruhan 1.03. Keputusan penuh pencapaian gred A mengikut mata pelajaran adalah seperti berikut:
Bahasa Melayu: 100%
Bahasa Inggeris: 95.3%
Matematik: 98.1%
Sains: 98.1%
Sejarah: 94.4%
Pendidikan Islam: 89.7%
Geografi: 99.1%
Kemahiran Hidup: 100%.

Tahniah kepada semua pelajar STAR. Terima kasih dan penghargaan kepada guru-guru, PIBG dan STAROBA serta semua pihak yang telah memberi sumbangan.

17 November 2009

GUNALAH MY GREEN OIL

Saya dah jadi reseller MyGreenOil selepas menguji sendiri keberkesanannya pada kereta Kancil dan Persona saya. Penggunaan MyGreenOil dapat meningkatkan power dan lebih jimat minyak di samping mengurangkan pencemaran alam sekitar. Maklumat lanjut tentang produk ni boleh baca dalam web site: http://www.mygreenoil.com/.
Harga adalah seperti berikut:
Untuk kereta: Sekotak (5 botol 60ml) = RM48.00
Untuk motor: Sekotak (12 sachet 3ml) = RM10.00

Cara nak order:
1. Bank in / transfer bayaran dalam akaun seperti di bawah:
Maybank: 508177704369
CIMB Bank: 08280000576050

2. Hantar bukti pembayaran, nama, alamat lengkap, nombor telefon dan kuantiti produk kepada saya melalui email: mdzabidi@yahoo.com atau sms: 016-5994872 atau 0194155695

3. Saya akan poskan produk berkenaan dalam masa seminggu.

Jika perlukan maklumat lanjut atau apa-apa pertanyaan boleh hubungi saya.

07 November 2009

ULANG TAHUN PERKAHWINAN

Semalam, Jumaat 6 November 2009 adalah hari ulang tahun perkahwinan saya yang ke-18 . Ulang tahun kali ini diraikan di Hotel Heritage, Ipoh.
Walaupun dalam tempoh 18 tahun hidup bersama berlaku sikit sebanyak perselisihan faham dan perang dingin tetapi alhamdulillah dapat ditangani sebaiknya. Seperti kata orang tua-tua, sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri. Buang yang keruh ambil yang jernih.
Mudah-mudahan kebahagiaan yang dikecapi selama ini berkekalan buat selama-lamanya.