20 August 2009

SELAMAT BERSARA USTAZ MOHTAR



Saya ingin mengucapkan selamat bersara kepada sahabat saya Ustaz Mohtar bin Haji Omar yang menamatkan perkhidmatannya selama 21 tahun sebagai guru Pendidikan Islam di Sekolah Tuanku Abdul Rahman hari ini. Segala sumbangan dan jasa bakti yang dicurahkan sebagai pendidik di sekolah ini amat dihargai dan disanjung tinggi oleh pihak pentadbir, rakan-rakan guru dan semua pelajar. Didoakan semoga ustaz dapat melipatgandakan amal ibadah dan mendidik masyarakat luar sekolah pula dalam kelapangan yang ada selepas bersara agar memperoleh kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Terima kasih ustaz atas tunjuk ajar dan bimbingan yang diberi selama perkenalan kita.

16 August 2009

INFO RINGKAS

Lebih 2 bulan blog saya tak dikemaskini kerana agak sibuk dan tiada internet di rumah baru. Minggu ini balik ke Kg Anak Kurau dan kebetulan ada kemudahan internet dapat la luangkan masa sikit update blog ni. Jadi saya rangkumkan pelbagai peristiwa dan info menarik dalam bentuk gambar dan caption ringkas untuk tatapan pengunjung sekalian.

15 Ogos 2009: Menerima suntikan tambahan vaksin Pneumococal & Influenza di Pejabat Tabung Haji Taiping sebagai persediaan awal untuk menunaikan haji. Alhamdulillah dapat berjumpa Cikgu Shaharuddin yang pernah mengajar saya mata pelajaran Lukisan pada tahun 1978-1982 di Sekolah Dato' Kamaruddin dahulu. Beliau juga pernah mengajar saya di Institut Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim pada tahun 1989-1990. Kini beliau sudah bersara dan menetap di Taman Long Jaafar, Kg. Boyan, Taiping. Pertemuan semula yang tak disangka-sangka di Pejabat Tabung Haji itu ada hikmahnya kerana emak dan ayah saya mengenali beliau dan rupanya kami mempunyai hubungan kekeluargaan. Kalau tiada halangan dan diizinkan Allah insya Allah kami dapat tunaikan haji bersama-sama tahun ini.


Sebelum rumah baru siap sepenuhnya saya sudah mula bercucuk tanam sebagai menyahut Kempen Bumi Hijau. Ada dua bahagian tanaman, iaitu bahagian sayur-sayuran di tepi dan belakang rumah dan satu taman bunga di halaman depan. Selepas hampir sebulan berpindah ke rumah baru tanaman keliling rumah sudah mengeluarkan hasil seperti dalam gambar di atas.

26-27 Julai 2009: Kursus Intensif Haji di Masjid Daerah Taiping anjuran Tabung Haji Taiping.

18 Julai 2009: Majlis pertunangan adik, Mohamad Amini di Johor Baharu, Johor.


14-17 Julai 2009: Hadiri Taklimat Peruntukan Khas Sekolah Kluster Kecemerlangan di Hotel Maytower, Kuala Lumpur. Peserta diberi latihan menyediakan Request For Proposal (RFP), untuk memohon peruntukan dan prosedur perbelanjaan bagi melaksanakan program sekolah kluster.


4 Julai 2009: Mengikuti latihan praktikal haji di Masjid An-Nur, Batu 8, Ulu Kinta di bawah bimbingan Ustaz Haji Bahari Yeop. Latihan bermula dari Maghrib 4 Julai (Sabtu) dan berakhir pada pukul 8 pagi 5 Julai (Ahad). Program latihan ini diisi dengan ceramah bimbingan haji, latihan praktikal tawaf, sa'i, melontar, qiamullail dan lain-lain yang berkaitan. Sepanjang latihan ini saya sempat tidur kira-kira 30 minit saja, tetapi tidak rasa mengantuk sangat dan dapat mengikuti semua atur cara sepenuhnya.


27 Jun 2008: Hari ni bersamaan 5 Rejab 1430 saya masuk rumah baru secara rasmi. Ada la buat majlis kesyukuran dan doa selamat sikit untuk ahli keluarga. Insya Allah jamuan untuk kawan-kawan akan diadakan lepas raya nanti.


26 Jun 2009: Menghadiri Majlis Makan Malam bersama Presiden Staroba, Dato' Hamzah Zainudin di Hotel Casuarina, Ipoh. Beliau merupakan Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, dan juga Ahli Parlimen Larut. Pada majlis tersebut saya menerima hadiah penghargaan daripada Presiden Staroba.


23 Jun 2009: Langsir rumah baru siap dipasang

12 Jun 2009: Gambar kenangan bersama keluarga Hashim Mat Isa di hari perkahwinannya yang berlangsung di Dewan Konvensyen, Sg Siput. Saya mula berkawan dengan Hashim di kelas 1A2, Sekolah Dato' Kamaruddin, Batu Kurau pada tahun 1978.