17 March 2013

Sedekad Di STAR: Bahagian 2

Sejarah perkhidmatan saya di STAR bermula pada bulan Januari tahun 2000. Saya telah menerima panggilan telefon daripada Encik Mohmad Guffri, Penolong Kanan STAR ketika itu. Beliau bertanya sama ada saya berminat untuk mengajar di STAR.  Pada masa itu saya dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas mesyuarat di Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK), Kuala Lumpur.  Tanpa ragu-ragu saya katakan saya sangat berminat dan menaruh harapan yang tinggi untuk bertukar ke STAR. 
Sepanjang perjalanan itu saya berfikir bagaimanakah agaknya bila berhadapan dengan pelajar-pelajar cemerlang.  Mampukah saya mengajar dengan baik dan berkesan.  Bolehkah saya jawab soalan-soalan yang mencabar daripada pelajar-pelajar pintar itu nanti.  Sedikit sebanyak gambaran itu menimbulkan rasa gementar di hati.

Kenangan bersama Hj Ngazizan, Pengetua pertama saya di STAR


Saya melaporkan diri untuk bertugas di STAR mulai 16 Mac 2000.  Masih tergniang-ngiang nasihat Tuan Haji Ngazizan Haji Din, Pengetua STAR ketika itu supaya saya menjadi guru yang cemerlang, mendidik anak bangsa dengan tulus, ikhlas dan dedikasi serta tidak terpengaruh dengan sesuatu yang boleh mengurangkan kualiti perkhidmatan saya di STAR. Mulai saat itu saya berazam untuk menjadi guru yang cemerlang di STAR kerana di sini saya berpeluang mendidik anak bangsa sendiri menjadi insan cemerlang yang bakal merealisasikan Wawasan 2020.

Pengacara Pertandingan Wind Orchestra SBP

Berdasarkan opsyen dan pengalaman mengajar, saya diminta mengajar Bahasa Melayu menengah rendah dan menengah atas.  Sebagai guru Bahasa Melayu saya banyak diberi tugas sebagai pengacara majlis.  Antara majlis besar yang saya kendalikan ialah majlis ‘Malam Jasamu Dikenang’ di City Bayview, Pulau Pinang pada 1 Julai 2000 yang dihadiri oleh Allahyarham Tun Hamdan Sheikh Tahir. Selain itu saya juga menjadi juru acara Karnival Sains peringkat negeri Perak di SM Teknik Ipoh dan Pertandingan Wind Orkestra SBP di Dewan Banquet, Bangunan Perak Darul Ridzuan.


Nostalgia Malam Lepak Puisi

Hubungan rapat dengan pelajar yang bernama Hafiz Hisan telah membuka jalan untuk memeriahkan kampus STAR dengan pebagai kegiatan sastera.  Dengan matlamat untuk melahirkan ‘Sasterawan Sains’ kami mempelopori aktiviti lepak puisi pada setiap malam minggu di gelanggang sepak takraw.  Tanpa diduga lepak puisi menerima sambutan hangat daripada pelajar walaupun mereka semua dari aliran sains.  Daripada aktiviti deklamasi sajak pada malam-malam lepak puisi, saya bimbing mereka menghasilkan puisi sendiri.  Hasil karya pelajar tersebut saya terbitkan sebuah buku antologi sajak Lepak Puisi pada tahun 2002. 


Buku Antologi ‘Lepak Puisi’

Selain itu saya juga anjurkan sayembara deklamasi puisi patriotisme sempena sambutan bulan kemerdekaan, aktiviti perbahasan, pidato dan berbalas pantun.  Saya juga turut menyumbang artikel, laporan dan berita yang disiarkan dalam buletin STAROBA dan majalah sekolah.


Sumbangan ‘Berita Dari STAR’ dalam Berita STAROBA

Pada peringkat awal di STAR, saya lebih banyak mengisi masa lapang di Makmal Sains Tingkatan 3 untuk bergaul dan berbual dengan staf-staf sokongan di situ seperti Anwar, Dawam, Ridyan, Zolkaply, Redzuran dan lain-lain lagi.  Saya tidak kekok bergaul dengan mereka, bahkan pergaulan dengan mereka banyak memberi manfaat kepada diri dan kerjaya saya. Walaupun di sekolah mereka berjawatan rendah tetapi di luar mereka bergiat aktif dalam pelbagai organisasi dan mempunyai kepakaran tertentu. Misalnya Encik Dawam aktif dalam kegiatan kebudayaan dan mempunyai hubungan rapat dengan aktivis budaya dan sastera di Taman Budaya dan Badan Budaya Perak.  Dengan bantuan beliau saya dapat menjalin kerjasama dengan Taman Budaya dan Badan Budaya Perak untuk menjayakan aktiviti bahasa dan sastera. Antara aktiviti yang pernah saya jalankan ialah bengkel asas lakonan kepada pelajar baru tingkatan 1 dengan kerjasama Badan Budaya Perak, membawa pelajar menyertai sayembara puisi di Taman Budaya Perak, mengadakan kursus penulisan dan deklamasi sajak dengan kerjasama aktivis sastera, menghadiri kursus lakonan teater kreasi baru anjuran Akademi Seni Kebangsaan dan mengadakan kelas drama dan teater di STAR dengan kerjasama Taman Budaya Perak.
 

Kursus Teater Kreasi Baru anjuran Akademi Seni Kebangsaan di Taman Budaya Perak

Melalui pergaulan dengan Ridyan pula saya berpeluang membuat eksperimen mengawet burung dan mengeram telur puyuh dengan menggunakan inkubator yang ada di makmal.  Burung yang saya awet masih ada di makmal sampai sekarang.  Telur puyuh yang saya eram juga berjaya menetas dan saya bela di rumah hingga bertelur semula dan membiak. Ridyan juga telah membantu saya mendapatkan borang permohonan tanah tapak rumah dan beliau tolong hantarkan borang permohonan tanah itu ke pejabat PKNP.  Rumah yang saya diami sekarang didirikan atas tanah yang saya perolehi hasil bantuan beliau.

Burung yang saya awet di Makmal Sains Tingkatan 3

Sebagai rumusan, pada peringkat awal perkhidmatan di STAR saya banyak belajar perkara baru dan meluaskan pergaulan di dalam dan di luar sekolah.  Penglibatan aktif dalam pelbagai aktiviti di dalam dan di luar sekolah memang membuatkan saya sentiasa sibuk dan penat tetapi saya hadapinya dengan berfikiran positif.  Sebagai guru kita perlu amalkan konsep pembelajaran sepanjang hayat.  Pengalaman dan kemahiran yang diperoleh daripada pelbagai tugasan dan daripada penglibatan dalam perbagai aktiviti bahasa dan sastera itu amat bermanfaat dan tidak ternilai harganya. Sesungguhnya ia dapat memperkaya pengalaman dan memberi nilai tambah dalam melaksanakan tugas sebagai pendidik. Akhirnya saya turut dikenali sebagai aktivis bahasa dan sastera dalam kalangan pelajar dan guru-guru di sekolah, serta aktivis bahasa dan budaya di luar sekolah pada masa itu.