22 November 2008

LANTAI, MANHOLE & BEAM ATAS


Semalam, Jumaat, 21.11.08 bahagian lantai sudah disimen, tetapi sebelah petang hujan turun lebat sebelum simen kering. Saluran paip saiz 6" ke tangki septik juga sudah dipasang. Hari ini, Sabtu, 22.11.08 mainhole sudah dipasang dan kerja memasang acuan beam bahagian atas sedang dijalankan oleh 3 orang pekerja. Tiang yang condong sebelum ini pun sudah ditegakkan dengan cara menyangga dengan kayu.

19 November 2008

DINDING SIAP DIPASANG


Hari ini, Rabu, 19.11.2008 kerja-kerja pemasangan bata dinding telah siap mengikut jangkaan kontraktor. Saluran paip lama saiz 4 inci telah dikeluarkan dan akan diganti dengan saluran paip 6 inci.

18 November 2008

SELAMAT PENGANTIN BARU: ZAMRI & AZIE



Pada 16.11.2008 saya menghadiri majlis kenduri kahwin anak saudara saya Mohd Zamri bin Abd Aziz atau lebih dikenali dengan nama Yatim dengan Azimah di Kg Raja Uda, Pelabuhan Klang. Alhamdulillah saya dapat berjumpa ahli keluarga dan sanak saudara jauh dan dekat, dapatlah eratkan kembali silaturrahim.

Saya ucapkan selamat pengantin baru kepada pasangan pengantin baru. Didoakan semoga kekal bahagia hingga ke hujung nyawa dan melahirkan zuriat yang beriman dan bertaqwa serta dapat berbakti kepada ibu bapa, agama, bangsa dan negara apabila dewasa kelak.

14 November 2008

TEMUDUGA PENSYARAH IAB

Saya telah menerima surat panggilan temuduga sebagai Pensyarah Kanan Institut Aminuddin Baki DG 48. Temuduga dijalankan pada hari Khamis, 13.11.2008 di IAB Utara pada jam 8.30 hingga 12.30 tengah hari dalam dua sesi. Pada sesi pertama saya diminta menjawab soalan- soalan objektif secara online menggunakan komputer dalam dua set. Set pertama terdiri daripada 75 soalan dan set kedua 100 soalan. Selepas itu baru ditemuduga secara lisa oleh dua orang pegawai penilai.
Saya bersyukur kerana diberi peluang menghadiri temuduga ini walaupun tidak memohon jawatan berkenaan. Saya tidak mengharapkan sangat jawatan pensyarah IAB ini, sebaliknya saya lebih berminat untuk menjadi Guru Cemerlang Gred DG48 yang telah saya pohon dan menunggu keputusannya. Walau bagaimanapun sekurang-kurangnya saya dapat menimba pengalaman ditemuduga sebagai persediaan untuk berhadapan dengan pegawai penilai bagi jawatan Guru Cemerlang nanti.

DINDING MULA DIBINA


Gambar atas dirakam pada 17.11.2008



Semalam, 13 November 2008 kerja-kerja mengikat bata bagi membuat dinding telah dimulakan. Setakat ini nampaknya kerja yang dijalankan kemas dan lancar.

08 November 2008

ZIARAH SMKA SLIM RIVER

Gambar antara 1993-1996

Gambar pada 11.10.2008
Pada 11 Oktober 2008 yang lalu saya menziarahi SMKA Slim River, di samping menghadiri majlis kenduri di rumah saudara saya di Taman Slim Indah. Saya telah berkhidmat di sekolah tersebut pada tahun 1993 hingga 1999. Banyak pengalaman menarik yang saya timba ketika berkhidmat di SMKA Slim River terutamanya pengalaman sebagai antara guru awal yang bertugas ketika sekolah ini mula dibuka. Gambar-gambar di atas dapat menceritakan kerja kami waktu itu. Antara jawatan penting yang saya sandang ialah Guru Kanan Kokurikulum, Ketua Bidang Bahasa dan Setiausaha PIBG.


Selepas hampir 10 tahun saya meninggalkan sekolah tersebut, hari ini persekitarannya sudah nampak perubahan yang agak ketara. Pokok-pokok bunga sudah hidup subur dengan lanskap yang menarik. Bangunan baru bertambah dan bangunan lama sudah dicat semula dengan warna yang lebih menarik dan banyak kemudahan yang telah dilengkapkan.


Saya doakan SMKA Slim River terus cemerlang, gemilang dan terbilang dalam bidang akademik, kokurikulum, sahsiah dan kepimpinan. Semoga modal insan profesional yang berpegang teguh kepada Islam dapat dilahirkan oleh para pendidik untuk mendepani cabaran masa depan negara.