21 March 2011

Sedekad di STAR: Bahagian 1

Gambar kenangan bersama Tan Sri Ramli Ngah Talib di Bilik Persidangan STAR

Tanggal 19 Mac 2011 yang lalu genap 11 tahun saya bertugas di Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh (STAR). Begitu cepat masa berlalu. Pelajar tingkatan 5 yang keluar tahun 2000 ketika saya mula bertugas di sini ramai yang sudah berjaya dalam kerjaya, berumah tangga dan ada yang sudah mempunyai anak. Kali ini saya ingin mengimbau kembali kenangan selama sedekad meniti perjalanan sebagai guru di STAR untuk dikongsi bersama pembaca.

Walaupun berasal dari Perak tetapi saya mula kenal STAR ketika mengajar di SMK Dalat, Sarawak. Willy Tony, pelajar tingkatan 5 hadiahkan sebuah novel sempena sambutan hari jadi saya di pantai Oya, Dalat pada tahun 1992. Pada novel itu ada cop ‘Pusat Sumber Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh’. Sambil makan kepak ayam BBQ di tepi pantai Willy cerita pengalaman belajar di STAR sebelum bertukar ke SMK Dalat. Dengan bangga dia perkenalkan STAR sebagai Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang hebat dan terkenal di seluruh negara. Dia turut cadangkan saya melawat STAR bila balik ke Perak.

Kali pertama saya jejakkan kaki di STAR pada tahun 1993 ketika menghadiri pemilihan pemain bolasepak PSKPP pasukan senior negeri Perak. Saya dijemput ke sesi pemilihan itu setelah pasukan daerah Batang Padang yang saya wakili menjadi juara pasukan senior peringkat negeri Perak. Dari astaka saya dapat lihat kampus STAR yang tersusun rapi mengelilingi padang yang luas dengan latar belakang gunung batu kapur yang indah. Benarlah kata-kata Willy, STAR memang nampak hebat. Patutlah dia sangat bangga dapat belajar di STAR. Warga STAR yang saya kenal ketika itu ialah Jamal (Jamaluddin Tajuddin) yang mewakili pasukan PSKPP Kinta. Walau bagaimanapun hubungan kami tidak rapat kerana masing-masing bersaing untuk menjadi penjaga gol mewakili negeri Perak ke pertandingan peringkat kebangsaan.

Saya datang semula ke STAR pada tahun 1998, membawa dua orang pelajar SMKA Slim River untuk menyertai kursus membina laman web anjuran Utusan Gigabait, Utusan Malaysia. Kursus tersebut dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Sri Ramli Ngah Talib di Bilik Persidangan. Kali ini baru saya nampak kelibat pelajar-pelajar STAR yang begitu segak mengenakan uniform serba putih. Sekali pandang sudah dapat diduga kehebatan dan kepintaran pelajar-pelajar cemerlang di STAR. Sebab itu kami berasa sungguh bangga apabila SMKA Slim River muncul juara pertandingan mereka bentuk laman web selepas kursus tersebut kerana mampu mengalahkan pasukan STAR yang hebat.

Saya tergerak hati untuk masuk ke STAR selepas kereta baru saya dicalarkan oleh pelajar semasa mengajar di SMK Idris Shah. Dalam perjalanan balik dari Gopeng ke Ulu Kinta saya buat keputusan untuk bertukar ke sekolah yang lebih dekat dan mendapat kepuasan mengajar. Ketika berkira-kira sekolah mana yang sesuai, saya teringat kembali sekolah STAR yang hebat. Tanpa membuang masa, saya terus memandu menuju ke STAR.

Petang itu saya jumpa Penolong Kanan, Encik Mohmad Guffri Alpiah. Saya suarakan hasrat untuk mengajar di STAR dan terangkan pengalaman mengajar, pengalaman dalam pentadbiran sekolah, pengalaman menjadi pemeriksa kertas SPM, penglibatan di peringkat negeri dan kebangsaan dalam bidang ICT dan juga kejayaan-kejayaan yang diraih hingga di peringkat kebangsaan. Encik Mohmad Guffri nampaknya berminat dengan kapakaran dan pengalaman saya dan cadangkan supaya saya kemukakan surat permohonan serta dokumen sokongan untuk dipanjangkan ke Unit SBP.

Tanpa berlengah lagi saya terus mengarang surat permohonan untuk bertugas di STAR dan serahkan kepada Encik Mohmad Guffri keesokan harinya. Alhamdulillah, pertemuan singkat dengan beliau telah merintis jalan untuk membolehkan saya mencurahkan khidmat bakti di sini.