22 August 2010

1993: Singgah Sebentar di SMDZM

Setelah balik ke semenanjung saya ditempatkan di SMK Dato’ Zulkifli Muhammad (SMDZM), Slim River mulai 1 Januari 1993. Saya diminta mengajar Pengajian Am dan Bahasa Melayu. Tugas lain yang diberi kepada saya ialah Guru SPBT dan Guru Penasihat Bola Tampar.
Pengalaman belajar Pengajian Am di SMK Dr Burhanuddin (SMDB), Taiping banyak membantu saya mengajar subjek ini. Saya banyak mencontohi cara Cikgu Yahya mengajar saya di tingkatan enam dahulu dengan menerapkan ilmu falsafah, tugasan kumpulan dan pembentangan. Sayangnya baru rasa seronok mengajar subjek ini dan pelajar pun dah mula serasi dengan cara saya mengajar dah kena bertukar ke SMKA Slim River pula.


Gambar kenangan bersama pelajar tingkatan 6 SMDZM 1993

Pada masa itu SMKA Slim River baru siap dibina. Pengetua pertamanya, Tuan Haji Ahmad sering datang berjumpa saya untuk merujuk perkara yang berkaitan dengan pengurusan SPBT. Tuan Haji Ahmad yang pernah mengajar saya ketika di SMDB telah menguruskan pertukaran saya ke SMKA Slim River pada bulan Mac 1993.
Dalam tempoh 3 bulan di SMDZM tidak banyak pengalaman dan peristiwa yang dirakam. Cuma yang masih segar dalam ingatan ialah ketegasan Pengetua, Encik Shaharuddin Atan mengerah guru-guru membuat kertas kerja projek keceriaan sekolah. Setiap guru diminta membuat satu projek dan perlu bentangkan kertas kerja di hadapannya. Saya diminta membuat projek papan tanda penunjuk arah. Selepas saya bertukar baru projek itu dilaksanakan berdasarkan kertas kerja yang saya sediakan.

YB Wan Yusuff bin Wan Mustaffa

Selain itu SMDZM juga mengingatkan saya kepada YB Wan Yusuff bin Wan Mustaffa (ADUN Gual Ipoh, Kelantan) kerana saya sentiasa menumpang kereta beliau semasa berulang alik dari rumah di Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI), Tanjung Malim ke SMDZM. Tahniah kepada YB Wan Yusuff kerana dah jadi wakil rakyat. Kenangan ketika sama-sama belajar di Universiti Malaya dan IPSI serta sama-sama bertugas di SMDZM masir segar dalam ingatan.

14 August 2010

1990 – 1992: Pengalaman Pertama di SMK Dalat

Kata orang muda, cinta pertama abadi di hati selamanya. Begitu juga pengalaman saya menjadi guru terlatih di sekolah pertama masih segar dalam ingatan hingga kini. Malah dari pengalaman pertama itulah minat saya sebagai guru mula bercambah rasa cinta terhadap profesion yang mulia ini.
Bersedia untuk menaiki bot dari Sibu ke Dalat

Penempatan pertama selepas menamatkan latihan perguruan di IPSI ialah di Sarawak. Saya bersama guru-guru dari Semenanjung yang lain telah mengikuti kursus orientasi selama seminggu di Kuching pada 4 hingga 10 Jun 1990 untuk menyesuaikan diri dengan budaya pelbagai suku kaum dan etnik masyarakat Sarawak. Pendedahan awal dalam tempoh orientasi banyak membantu saya bersedia menempuh perjalanan selama tiga jam menaiki bot ekspres dari Sibu ke Dalat.


Lokasi menarik di SMK Dalat

Selepas melaporkan diri di SMK Dalat, Sibu pada 11 Jun 1990 bermulalah titian perjalanan saya sebagai guru terlatih. Sebagai anak kampung yang membesar di sawah, saya dapat menyesuaikan diri dengan cara hidup masyarakat tempatan dalam masa yang singkat. Saya amat bersyukur kerana kehadiran saya disambut dan diterima dengan baik sama ada di sekolah mahupun di kalangan masyarakat setempat yang majoritinya orang Melanau beragama Islam.

Cuba belajar cara hidup masyarakat Melanau

Saya diminta mengajar mengikut opsyen iaitu Bahasa Melayu tetapi minat saya lebih kepada Kesusasteraan Melayu kerana guru Bahasa Melayu sudah ramai dan peratus kelulusan Sastera agak rendah, sekitar 35% sahaja lulus. Tambahan pula ketika menuntut di Universiti Malaya, saya banyak mengikuti program Temu Puisi di Rumah Universiti dan majlis deklamasi sajak di Pasar Budaya, DBP, Berita Harian dan sebagainya. Pengalaman itu banyak membantu saya mengajar dan menjalankan aktiviti sastera dengan berkesan dan menarik. Saya memupuk minat pelajar terhadap subjek Kesusasteraan Melayu melalui aktiviti menulis sajak, menerbitkan buku antologi sajak ‘Benih Rumput’ yang ditulis oleh pelajar, mengadakan Malam Sastera sempena pelancaran buku tersebut dan mengadakan sayembara deklamasi puisi Ramadhan.

Aktiviti Malam Sastera

Selain itu saya juga diberi tanggungjawab mengarah pementasan teater ‘Gigi’ sempena Minggu Kesihatan Gigi anjuran Kementerian Kesihatan. Tetamu kehormat yang hadir ketika itu ialah Datuk Effendi Norwawi, ADUN Dalat (Suami Tiara Jacqualina sekarang). ‘Kegilaan’ pelajar dengan pelbagai kegiatan sastera yang saya perkenalkan berjaya melonjakkan prestasi Kesusasteraan Melayu dari 35% kepada 75% dalam peperiksaan SPM tahun 1991.

Juara Pidato Kenegaraan Bahagian Sibu 1990

Saya mula dikenali ramai apabila menjuarai pertandingan pidato kenegaraan sempena Bulan Bahasa pada akhir tahun 1990 dan sedutan pidato saya disiarkan melalui radio Sarawak. Sebagai juara saya juga telah ditemuramah oleh wartawan RTM dan disiarkan di radio. Mungkin melalui pelbagai aktiviti itu pengetua melihat bakat dan kebolehan yang ada pada diri saya hingga mendorong beliau melantik saya sebagai Penolong Kanan 1 pada tahun 1991.

Ketika bertugas sebagai Penolong Kanan 1

Saya juga turut dikenali di kalangan masyarakat setempat melalui bola sepak. Saya mewakili pasukan bola sepak SMK Dalat, PSKPP dan MAKSAK di posisi penjaga gol. Selepas bakat saya sebagai penjaga gol terserlah, pasukan bola sepak Spider FC pekan Dalat telah mempelawa saya menyertai pasukan mereka dalam liga bolasepak Daerah Dalat untuk merebut piala Datuk Effendi.

Bersama pasukan bolasepak SMK Dalat

Dalam perlawanan akhir yang menarik, hebat dan tegang itu akhir pasukan saya tewas tipis 1 – 0 selepas saya tersilap jangkaan akibat bola tersangkut di air. Walaupun tewas perlawanan akhir, saya mendapat pujian daripada pemain kedua-dua pasukan dan juga penonton kerana berjaya menyelamatkan banyak cubaan tepat ke pintu gol. Itulah perlawanan akhir paling hebat yang pernah saya tempuhi. Tak lupa juga batu yang dibaling mengenai belakang saya oleh penonton yang tidak puas hati dengan kehadiran saya sebagai pemain ‘import’ dari Semenanjung.

Bersama pasukan bolasepak Spider FC, Dalat

Sebelah malamnya pula diadakan konsert M. Daud Kilau yang diumumkan menerima pingat bergelar Datuk sehari sebelumnya. Beliau cukup gembira berbual dengan saya di belakang pentas, kerana sama-sama rakyat negeri Perak.

Sidang Redaksi Majalah Jerunai 1991

Semasa bertugas di SMK Dalat juga saya berpeluang menimba pengalaman sebagai pengawas SPM, ketua pemeriksa ujian lisan Bahasa Melayu, dan ketua pengawas peperiksaan amali SPM. Berbeza dengan di semenanjung, tugas menjadi pengawas peperiksaan sentiasa menjadi rebutan guru-guru di sana kerana kadar tuntutannya yang tinggi disebabkan jarak antara satu sekolah dengan sekolah yang lain agak jauh melayakkan guru-guru membuat tuntutan perjalanan, elaun makan dan elaun lojing. Sebagai Penolong Kanan, saya sering diminta mewakili Pengetua menghadiri majlis yang dihadiri pembesar-pembesar negeri dan pemimpin dari semenanjung. Antaranya TYT Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Zaidi, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abdul Taib Mahmud, Datuk Napsiah Omar, Datuk Effendy Norwawi dan lain-lain lagi.

Perkelahan di Pantai Oya bersama rakan guru dari Semenanjung

Bila jauh di rantau orang kadang-kadang timbul juga rasa rindu kampung halaman. Kalau dilayan perasaan itu pasti berlaku tekanan perasaan dan rasa bosan. Untuk mengatasinya saya libatkan diri dengan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan. Antaranya main bola, berkelah di pantai Oya, ziarah rumah pelajar dan mempelajari budaya masyarakat setempat.

Papan tanda ‘Wawasan 2020’ yang saya buat bersama Yao

Tidak lama saya bertugas di SMK Dalat. Saya bertukar balik ke Semenanjung pada bulan Disember 1992 selepas bertugas selama 2 tahun 6 bulan sahaja. Sebelum balik saya sempat siapkan papan tanda ‘Wawasan 2020’ dan ‘Sayangi SMKD’. Papan tanda itu saya buat bersama Yao Rafae.

Gambar kenangan di rumah Eric Ngieng pada Mac 2010

Gambar kenangan bersama Bibiana Patrict di Miri, Mac 2010

Saya juga masih ingat beberapa orang bekas pelajar yang rapat dengan saya dahulu dan juga berkesempatan berjumpa semula dengan Bibiana Patrict dan Eric Ngieng Shieng Chung di Miri pada bulan Mac 2010 serta Jaidi yang bertugas di kem PGA Ulu Kinta di samping Nelly, Tijah, Justina dan lain-lain di ruang Facebook.

Pemandangan kampung tradisional Melanau di Kg. Hilir, Dalat

Walaupun sekejap sahaja di Dalat, tetapi terlalu banyak pengalaman manis yang masih segar dalam ingatan hingga sekarang. Saat-saat indah bersama guru dan pelajar SMK Dalat, pergaulan dengan pelbagai peringkat masyarakat daerah Dalat, keunikan budaya pelbagai etnik, penglibatan dalam aktiviti sosial dan persekitaran alam semula jadi yang indah dan nyaman sesungguhnya telah meluaskan pengalaman dan meninggalkan nostalgia yang sukar dilupakan.