02 October 2009

SUKA DAN DUKA DI HARI RAYA


Kita hanya merancang, Allah yang menentukan segalanya. Sambutan hari raya tahun ini berjalan seperti yang dirancang pada hari raya pertama. Semua ahli keluarga sebelah isteri saya berkumpul di Taman Kota Tampan kecuali adik yang berada di Sabah. Mereka dijadualkan pulang pada cuti akhir tahun sekolah nanti. Suasana cukup meriah dan ceria bermula daripada hari terakhir Ramadan, malam raya dan di pagi raya.
Bila tiba saat bersalaman dan mohon ampun maaf daripada mak dan abah tiada siapa dapat menahan deraian air mata. Tidak seperti tahun-tahun yang lalu, keadaan kesihatan abah kali ini ketara benar uzurnya. Hanya mampu terbaring lesu di katil dengan nafas tersekat-sekat abah gagahkan diri untuk bersalaman dan menerima ucapan selamat hari raya daripada semua anak cucu serta bermaaf-maafan. Abah masih ingat nama-nama anak cucunya dan masih dapat memberi kata-kata nasihat dengan suara yang lemah.

Pada hari raya kedua kami beraya di Kg Anak Kurau. Lebih kurang pukul 12.30 tengah hari kami menerima berita dari Lenggong mengatakan Abah sakit tenat. Kami pun berkemas untuk pulang semula ke Lenggong. Mak dan Ayah saya turut serta untuk menziarahinya. Dalam perjalanan ke Lenggong kami mendapat khabar Abah sudah menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.47 petang.
Bila kami sampai, sanak saudara dan jiran tetangga sudah ramai berkumpul. Persiapan sudah dibuat untuk mengebumikan jenazah abah pada petang itu juga. Sembahyang jenazah diadakan di surau Taman Kota Tampan selepas solat Maghrib. Kemudian jenazah arwah abah disemadikan di tanah perkuburan Sumpitan yang selesai sepenuhnya ketika azan Isya' berkumandang dari Masjid Sumpitan.
Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh dan beriman.