31 August 2008

PERKAMPUNGAN ILMU F5 STAR


Pada 26-28 Ogos 2008 yang lalu, saya sebagai Penyelaras Program Kecemerlangan Akademik STAR dengan kerjasama STAROBA Utara telah menganjurkan Program Perkampungan Ilmu bertempat di Anjung 5 Resort, Jitra Kedah. Antara pengisian program ini ialah ceramah motivasi oleh bekas pelajar STAR, bengkel teknik menjawab soalan Biologi dan Matematik Tambahan dan lawatan ke Loji Air yang diterajui oleh bekas pelajar STAR serta membeli belah di Padang Besar.
Sesiapa yang ingin mendapatkan koleksi gambar seperti di atas dalam CD (200 gambar) boleh hubungi saya. Bayaran perkhidmatan hanya RM3 sekeping CD.

BERCUTI DI KAMPUNG



Pada masa cuti sekolah yang lepas (22-24 Ogos) saya balik bercuti di kampung Anak Kurau, Batu Kurau. Kebetulan musim buah masih ada, dapatlah merasa buah durian, rambutan dan pulasan. Selain itu saya ambil peluang cuti ini untuk menziarahi Chei Seman di Kg. Bechah, Batu Kurau (gambar bawah). Seronok dapat jumpa ibu bapa, adik beradik dan saudara mara serta sahabat lama di kampung. Di samping dapat berbual mesra bercerita perkembangan semasa, dapat juga eratkan lagi silaturrahim dan mengukuhkan hubungan kekeluargaan. (Gambar atas: saya dan adik Pian (Cikgu Sofian) baru balik dari memetik buah pulasan di kebun berlatarkan sawah padi)

24 August 2008

Ziarah Makngah Minah




Pada 23 Ogos 2008, saya sempat meluangkan masa menziarahi Makngah Minah dan Pakngah Tasu di Kg. Repoh, Batu Kurau. Makngah Minah adalah ibu saudara saya iaitu kakak kepada emak saya. Gambar di sebelah dirakam ketika saya mengutip pucuk salang bersama makngah untuk dibuat ulam.







ZIARAH SEDAKA



Semalam saya mengambil kesempatan ketika bercuti di kampung, melawat SMK Dato' Kamaruddin, Batu Kurau. Di sekolah inilah dulu saya belajar dari tingkatan 1 (1978) hingga tingkatan 5 (1982).

Ketika mengatur langkah menjejaki tanah bertuah SEDAKA, satu persatu kenangan lama muncul semula macam tayangan slaid power point di skrin besar. Tengok padang yang luas itu teringat detik-detik mendebarkan ketika saya jadi penjaga gol dalam perlawanan akhir bola sepak antara rumah. Di belakang gol di hujung padang itu pula tempat saya belajar tanam kacang bendi dan petola bagi pelajaran Sains Pertanian. Tengok tapak perhimpunan teringat pula masa kena sebat dengan pengetua kerana tak bawa buku akaun biasiswa. Bila pergi belakang kantin pula, rupanya ada lagi sangkar burung besar yang tak ada burung tu. Banyak juga perubahan yang berlaku di sekolah ini. Bangunan baru dah bertambah. Lanskap antara pejabat dan tandas tu cantik tapi tak tau kenapa kolamnya tak berair.

Kalau berpeluang ingin saya kembali ke sekolah ini sebagai guru pula, sebagai membalas jasa kerana pendidikan yang saya peroleh di sinilah menjadi asas penting hingga saya berjaya hingga ke menara gading dan berjaya sebagai pendidik.
Terima kasih kepada guru-guru saya dulu, antaranya yang saya ingat: Cikgu Mat Dan (Matematik), Cikgu Goh (Bahasa Inggeris), Cikgu Lee & Cikgu Lim (Sains Pertanian), Cikgu Shaharuddin (Lukisan), Cikgu Nuruddin (PJ), En Mahendran (Sejarah), Pengetua Tn Hj Shamsuddin, PK En Mohammad Jamal dan lain-lain lagi. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih.

22 August 2008

KURSUS PENOLONG KANAN

Pada masa cuti ini saya berpeluang mengikuti Kursus Pemantapan Kepimpinan Instruksional Penolong-Penolong Kanan (Pentadbiran) Sekolah-Sekolah Menengah Negeri Perak 2008 pada 19-21 Ogos 2008 bertempat di Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Utara. Walaupun saya belum menjadi Penolong Kanan lagi, tetapi peluang berharga ini diberi oleh Pengetua untuk menggantikan Cikgu Zulkarnain (PK) yang tidak dapat menghadiri kursus ini. Saya amat bersyukur kerana dapat mengisi maca cuti ini dengan menghadiri majlis ilmu yang amat berguna. Mana tahu suatu hari nanti kalau saya ditawarkan jawatan sebagai Penolong Kanan, sekurang-kurangnya tahu juga saya apa tugas dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.
Antara pengisian kursus tersebut adalah seperti berikut;
1. Konsep kepimpinan instruksional
2. Perancangan strategik dalam organisasi pendidikan
3. Pengajaran dan pembelajaran cemerlang
4. Pemantauan dan penyeliaan instruksional
5. Pengurusan kurikulum dan mesyuarat jawatankuasa kurikulum
6. Head Count
7. Post-mortem
Selain itu dapat juga saya berjumpa dengan sahabat-sahabat lama dan baru dalam kalangan Penolong Kanan yang turut serta dalam kursus ini.

12 August 2008

Sumber Rujukan Kerja Kursus Geografi

Laman Web:
1. Laman web sekolah : http://www.staripoh.com/portal/downloads.php?cat_id=11
2. Laman blog Cikgu Zabidi: http://cikguzabidi.blogspot.com/
3. World Atlas-MSN Encarta: http://encarta.msn.com/encnet/features/mapcenter/map.aspx
4. Carian Ebook Contoh Kajian: http://www.scribd.com/


Buku Teks:
1. Buku teks tingkatan 1:
Chong Yoon Choi, Chong Hui Ling, Kang Chai Yoeng, 2002, Buku Teks Geografi Tingkatan 1, Petaling Jaya, Media Network Sdn. Bhd.
2. Buku teks tingkatan 2:
Abdul Aziz bin Abdul Rahman, Lim Jin Choon dan Ratnam Karuppiah Servai, 2003, Buku
Teks Geografi Tingkatan 2
, Kuala Lumpur, Percetakan Rina Sdn. Bhd.
3. Buku teks tingkatan 3:
Khaw Ah Seng, Habibah Hj Lateh, Tan Koh Lim, 2004, Buku Teks Geografi Tingkatan 3, Ipoh, PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.



Kerja kursus yang telah dihasilkan oleh pelajar tahun-tahun lepas boleh dirujuk di Bilik APD, Pusat Sumber Bestari, STAR.

11 August 2008

Kerja Kursus Geografi Tingkatan 1

Pelajar-pelajar tingkatan 1 dikehendaki menjalankan satu kajian geografi tempatan sebagai sebahagian daripada keperluan sukatan pelajaran Geografi yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Bidang kajian yang ditetapkan untuk tahun ini adalah seperti berikut;

Tema: Bentuk Muka Bumi

Tajuk:
Potensi pelbagai bentuk muka bumi di ………………….. (tulis kawasan kajian anda) dan perbandingan dengan …………………. (tulis negara yang dibandingkan).

Contoh menulis tajuk:
Potensi pelbagai bentuk muka bumi di Kg. Anak Kurau, Batu Kurau, Perak dan perbandingan dengan Pulau Jawa, Indonesia.

Kandungan laporan kerja kursus ini terdiri daripada perkara-perkara berikut;

1. Kulit luar (gunakan format kulit yang saya sediakan)
2. Tajuk
3. Senarai kandungan
4. Penghargaan
5. Pendahuluan
6. Objektif
7. Kawasan kajian: (a) Huraian kawasan kajian (b) peta daerah (c) peta kawasan kajian yang dilukis (c) peta negara yang dibandingkan
8. Kaedah kajian
9. Dapatan kajian:
9 (a) Jenis-jenis bentuk muka bumi
9 (b) Kegiatan ekonomi utama di kawasan kajian
9 (c) Potensi bentuk muka bumi di kawasan kajian dan perbandingan dengan negara lain
9 (d) Kesan kegiatan manusia terhadap alam sekitar di kawasan kajian
9 (e) Langkah-langkah mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar
9 (f) Bahan grafik: (i) jadual jenis pekerjaan penduduk (ii) graf jenis pekerjaan penduduk (iii) peta minda kesan kegiatan manusia terhadap alam sekitar
10. Rumusan
11. Lampiran
12. Rujukan: (a) buku (b) responden / orang sumber (c) laman web

Kalau ada apa-apa pertanyaan atau perlukan penjelasan, sila tulis dalam ulasan di bawah.

09 August 2008

Salam Perkenalan

Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan izin-Nya jua saya mendapat ilham dan kemahiran untuk menghasilkan blog ini. Niat utama blog ini dihasilkan ialah untuk membuka ruang interaksi dengan pelajar saya di STAR dan bekas pelajar saya di tempat lain serta sesiapa sahaja yang berminat. Melalui blog ini saya harap dapat berkongsi maklumat berkaitan bidang tugas saya sebagai Guru Geografi, nasihat, motivasi, perkembangan diri dan sebagainya.
Semoga ruang yang disediakan ini dapat memberi manfaat kepada diri saya sendiri, ahli keluarga, rakan-rakan, anak didik dan setiap insan yang berkesempatan menelusuri blog ini.