24 December 2009

TAHNIAH PELAJAR STAR: PMR CEMERLANG




Alhamdulillah, pencapaian pelajar STAR dalam PMR 2009 meningkat berbanding tahun lalu. Subjek Geografi yang saya ajar juga meningkat. Daripada 107 calon yang mengambil peperiksaan tersebut 85 orang (79.43%) mendapat 8A, 17 orang 7A (15.89%) dan 5 orang 6A (4.68%). Gred purata keseluruhan 1.03. Keputusan penuh pencapaian gred A mengikut mata pelajaran adalah seperti berikut:
Bahasa Melayu: 100%
Bahasa Inggeris: 95.3%
Matematik: 98.1%
Sains: 98.1%
Sejarah: 94.4%
Pendidikan Islam: 89.7%
Geografi: 99.1%
Kemahiran Hidup: 100%.

Tahniah kepada semua pelajar STAR. Terima kasih dan penghargaan kepada guru-guru, PIBG dan STAROBA serta semua pihak yang telah memberi sumbangan.

17 November 2009

GUNALAH MY GREEN OIL

Saya dah jadi reseller MyGreenOil selepas menguji sendiri keberkesanannya pada kereta Kancil dan Persona saya. Penggunaan MyGreenOil dapat meningkatkan power dan lebih jimat minyak di samping mengurangkan pencemaran alam sekitar. Maklumat lanjut tentang produk ni boleh baca dalam web site: http://www.mygreenoil.com/.
Harga adalah seperti berikut:
Untuk kereta: Sekotak (5 botol 60ml) = RM48.00
Untuk motor: Sekotak (12 sachet 3ml) = RM10.00

Cara nak order:
1. Bank in / transfer bayaran dalam akaun seperti di bawah:
Maybank: 508177704369
CIMB Bank: 08280000576050

2. Hantar bukti pembayaran, nama, alamat lengkap, nombor telefon dan kuantiti produk kepada saya melalui email: mdzabidi@yahoo.com atau sms: 016-5994872 atau 0194155695

3. Saya akan poskan produk berkenaan dalam masa seminggu.

Jika perlukan maklumat lanjut atau apa-apa pertanyaan boleh hubungi saya.

07 November 2009

ULANG TAHUN PERKAHWINAN

Semalam, Jumaat 6 November 2009 adalah hari ulang tahun perkahwinan saya yang ke-18 . Ulang tahun kali ini diraikan di Hotel Heritage, Ipoh.
Walaupun dalam tempoh 18 tahun hidup bersama berlaku sikit sebanyak perselisihan faham dan perang dingin tetapi alhamdulillah dapat ditangani sebaiknya. Seperti kata orang tua-tua, sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri. Buang yang keruh ambil yang jernih.
Mudah-mudahan kebahagiaan yang dikecapi selama ini berkekalan buat selama-lamanya.

02 October 2009

SUKA DAN DUKA DI HARI RAYA


Kita hanya merancang, Allah yang menentukan segalanya. Sambutan hari raya tahun ini berjalan seperti yang dirancang pada hari raya pertama. Semua ahli keluarga sebelah isteri saya berkumpul di Taman Kota Tampan kecuali adik yang berada di Sabah. Mereka dijadualkan pulang pada cuti akhir tahun sekolah nanti. Suasana cukup meriah dan ceria bermula daripada hari terakhir Ramadan, malam raya dan di pagi raya.
Bila tiba saat bersalaman dan mohon ampun maaf daripada mak dan abah tiada siapa dapat menahan deraian air mata. Tidak seperti tahun-tahun yang lalu, keadaan kesihatan abah kali ini ketara benar uzurnya. Hanya mampu terbaring lesu di katil dengan nafas tersekat-sekat abah gagahkan diri untuk bersalaman dan menerima ucapan selamat hari raya daripada semua anak cucu serta bermaaf-maafan. Abah masih ingat nama-nama anak cucunya dan masih dapat memberi kata-kata nasihat dengan suara yang lemah.

Pada hari raya kedua kami beraya di Kg Anak Kurau. Lebih kurang pukul 12.30 tengah hari kami menerima berita dari Lenggong mengatakan Abah sakit tenat. Kami pun berkemas untuk pulang semula ke Lenggong. Mak dan Ayah saya turut serta untuk menziarahinya. Dalam perjalanan ke Lenggong kami mendapat khabar Abah sudah menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.47 petang.
Bila kami sampai, sanak saudara dan jiran tetangga sudah ramai berkumpul. Persiapan sudah dibuat untuk mengebumikan jenazah abah pada petang itu juga. Sembahyang jenazah diadakan di surau Taman Kota Tampan selepas solat Maghrib. Kemudian jenazah arwah abah disemadikan di tanah perkuburan Sumpitan yang selesai sepenuhnya ketika azan Isya' berkumandang dari Masjid Sumpitan.
Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh dan beriman.

17 September 2009

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Assalamualaikum dan Salam Aidil Fitri kepada semua saudara mara, sahabat handai dan pengunjung blog saya ini.
Setelah sebulan menunaikan ibadah puasa, kini kita berada di ambang 1 Syawal. Sama-samalah kita meraikan Hari Raya Aidil Fitri ini dengan penuh rasa syukur kerana berjaya menyempurnakan tarbiah di madrasah Ramadan ini dengan jayanya dalam suasana yang aman damai.
Selama kita berkenalan, berkomunikasi dan berinteraksi; ada kalanya mata terlihat sesuatu yang mengaibkan, ada kalanya telinga terdengar sesuatu yang tidak menyenangkan, ada kalanya hati berbisik persepsi yang khilaf dan buruk sangka, ada kalanya minda terfikir sesuatu yang memudaratkan, ada kalanya mulut terucap kata-kata yang menyentuh perasaan dan ada kalanya tingkah laku dan tindakan menyalahi adat resam dan batasan. Oleh kerana itu, saya dengan penuh keinsafan dan rasa rendah diri ingin mengambil peluang di bulan Ramadan yang penuh barakah dan Syawal yang mulia ini mohon diampunkan segala dosa dan dimaafkan segala kesalahan, kesilapan dan kelemahan. Mudah-mudahan dengan bermaaf-maafan ini kita semua dapat hidup dalam suasana yang lebih harmoni dan memperoleh kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Bagi mengeratkan lagi silaturrahim sesama kita, silalah ziarah-menziarahi di hari raya nanti. Pada 1 Syawal saya dan keluarga akan berhari raya di rumah mertua di Taman Kota Tampan, Lenggong. Hari raya kedua bersama keluarga di Kg. Anak Kurau. Lepas itu boleh kunjungi rumah saya di Rancangan Perumahan Tersusun Ulu Kinta (RPT Tapisan Air). Mudah-mudahan melalui pertemuan itu nanti dapat menjalin tali ukhuwah sesama kita dan merapatkan hubungan yang berkekalan.
Akhir kata saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin.

04 September 2009

HARI JADIKU

Semalam genap usia saya 44 tahun. Saya telah dilahirkan pada hari Jumaat, 3 September 1965 bersamaan 8 Jamadilawal 1385H, jam 3.00 pagi di Kg. Anak Kurau, Batu Kurau, Perak.
Sebelum ini setiap kali menyambut hari lahir rasa seronok sebab diri makin dewasa dan kematangan makin meningkat. Tapi kini pemikiran saya mula berubah sedikit. Pertambahan setahun lagi usia juga bererti berkurang setahun lagi jangka hayat saya. Ditambah pula dengan pelbagai penyakit yang ditanggung. Rasanya makin singkat masa untuk sampai ke nohtah terakhir.
Sisa-sisa hidup yang masih ada ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk menyucikan hati dan rohani dari segala noda dan dosa serta meningkatkan amal ibadat sebagai bekalan ke sana nanti. Jadi sempena bulan Ramadan yang mulia ini, sementara kesempatan masih ada, saya ingin memohon ampun dan maaf andai kata ada dosa saya dengan sesiapa yang berkenaan. Halalkanlah makan minum yang saya terima. Andai kata saya ada terhutang apa-apa boleh la tuntut semula atau mohon dihalalkan. Kepada bekas pelajar saya yang pernah dimarah, dirotan atau tersalah ajar harap maafkan juga kelemahan dan kekurangan saya itu. Harapan saya semoga apabila dibicarakan di padang Mahsyar nanti terlepaslah kita dari azab api neraka yang tak tertanggung pedihnya itu.

20 August 2009

SELAMAT BERSARA USTAZ MOHTAR



Saya ingin mengucapkan selamat bersara kepada sahabat saya Ustaz Mohtar bin Haji Omar yang menamatkan perkhidmatannya selama 21 tahun sebagai guru Pendidikan Islam di Sekolah Tuanku Abdul Rahman hari ini. Segala sumbangan dan jasa bakti yang dicurahkan sebagai pendidik di sekolah ini amat dihargai dan disanjung tinggi oleh pihak pentadbir, rakan-rakan guru dan semua pelajar. Didoakan semoga ustaz dapat melipatgandakan amal ibadah dan mendidik masyarakat luar sekolah pula dalam kelapangan yang ada selepas bersara agar memperoleh kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Terima kasih ustaz atas tunjuk ajar dan bimbingan yang diberi selama perkenalan kita.

16 August 2009

INFO RINGKAS

Lebih 2 bulan blog saya tak dikemaskini kerana agak sibuk dan tiada internet di rumah baru. Minggu ini balik ke Kg Anak Kurau dan kebetulan ada kemudahan internet dapat la luangkan masa sikit update blog ni. Jadi saya rangkumkan pelbagai peristiwa dan info menarik dalam bentuk gambar dan caption ringkas untuk tatapan pengunjung sekalian.

15 Ogos 2009: Menerima suntikan tambahan vaksin Pneumococal & Influenza di Pejabat Tabung Haji Taiping sebagai persediaan awal untuk menunaikan haji. Alhamdulillah dapat berjumpa Cikgu Shaharuddin yang pernah mengajar saya mata pelajaran Lukisan pada tahun 1978-1982 di Sekolah Dato' Kamaruddin dahulu. Beliau juga pernah mengajar saya di Institut Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim pada tahun 1989-1990. Kini beliau sudah bersara dan menetap di Taman Long Jaafar, Kg. Boyan, Taiping. Pertemuan semula yang tak disangka-sangka di Pejabat Tabung Haji itu ada hikmahnya kerana emak dan ayah saya mengenali beliau dan rupanya kami mempunyai hubungan kekeluargaan. Kalau tiada halangan dan diizinkan Allah insya Allah kami dapat tunaikan haji bersama-sama tahun ini.


Sebelum rumah baru siap sepenuhnya saya sudah mula bercucuk tanam sebagai menyahut Kempen Bumi Hijau. Ada dua bahagian tanaman, iaitu bahagian sayur-sayuran di tepi dan belakang rumah dan satu taman bunga di halaman depan. Selepas hampir sebulan berpindah ke rumah baru tanaman keliling rumah sudah mengeluarkan hasil seperti dalam gambar di atas.

26-27 Julai 2009: Kursus Intensif Haji di Masjid Daerah Taiping anjuran Tabung Haji Taiping.

18 Julai 2009: Majlis pertunangan adik, Mohamad Amini di Johor Baharu, Johor.


14-17 Julai 2009: Hadiri Taklimat Peruntukan Khas Sekolah Kluster Kecemerlangan di Hotel Maytower, Kuala Lumpur. Peserta diberi latihan menyediakan Request For Proposal (RFP), untuk memohon peruntukan dan prosedur perbelanjaan bagi melaksanakan program sekolah kluster.


4 Julai 2009: Mengikuti latihan praktikal haji di Masjid An-Nur, Batu 8, Ulu Kinta di bawah bimbingan Ustaz Haji Bahari Yeop. Latihan bermula dari Maghrib 4 Julai (Sabtu) dan berakhir pada pukul 8 pagi 5 Julai (Ahad). Program latihan ini diisi dengan ceramah bimbingan haji, latihan praktikal tawaf, sa'i, melontar, qiamullail dan lain-lain yang berkaitan. Sepanjang latihan ini saya sempat tidur kira-kira 30 minit saja, tetapi tidak rasa mengantuk sangat dan dapat mengikuti semua atur cara sepenuhnya.


27 Jun 2008: Hari ni bersamaan 5 Rejab 1430 saya masuk rumah baru secara rasmi. Ada la buat majlis kesyukuran dan doa selamat sikit untuk ahli keluarga. Insya Allah jamuan untuk kawan-kawan akan diadakan lepas raya nanti.


26 Jun 2009: Menghadiri Majlis Makan Malam bersama Presiden Staroba, Dato' Hamzah Zainudin di Hotel Casuarina, Ipoh. Beliau merupakan Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, dan juga Ahli Parlimen Larut. Pada majlis tersebut saya menerima hadiah penghargaan daripada Presiden Staroba.


23 Jun 2009: Langsir rumah baru siap dipasang

12 Jun 2009: Gambar kenangan bersama keluarga Hashim Mat Isa di hari perkahwinannya yang berlangsung di Dewan Konvensyen, Sg Siput. Saya mula berkawan dengan Hashim di kelas 1A2, Sekolah Dato' Kamaruddin, Batu Kurau pada tahun 1978.

23 July 2009

TAK DAPAT UPDATE BLOG

Dah lama tak dapat kemas kini blog saya. Rumah baru saya tak ada line telefon lagi, so tak dapat la guna internet. Ni pun guna komputer sekolah, tapi slow sangat. Lagipun agak sibuk dengan pelbagai kerja sekolah dan kerja memindah barang ke rumah baru. Tunggu la lapang sikit baru boleh update blog ni.

09 June 2009

DETIK PERTEMUAN SEMULA

Dalam satu kuliah maghribnya, Ustaz Munawir menyatakan bahawa salah satu rahsia untuk panjang umur ialah dengan menghubungkan semula silaturrahim dengan saudara mara dan sahabat handai yang sudah lama terpisah, terutamanya perpisahan disebabkan konflik tertentu atau perselisihan faham atau sebab-sebab lain. Pendapat beliau itu ada benarnya apabila saya bandingkan dengan ibu dan ayah saya. Dalam usia 73 tahun ayah saya masih kelihatan cergas dan bertenaga lagi. Dari dulu lagi mereka cukup menjaga hubungan dengan sanak saudara dan jiran tetangga tak kira jauh atau dekat. Kalau ada kenduri kendara, kematian atau ditimpa musibah mereka akan berusaha selagi terdaya untuk ziarah dan bantu apa yang termampu. Alhamdulillah mereka dimurahkan rezeki, dipanjangkan usia dan hidup bahagia.
Ekoran daripada saranan Untaz Munawir dan teladan ibu bapa saya itu, saya berazam untuk cuba menjalin semula silaturrahim dengan sanak saudara dan sahabat handai yang sudah sekian lama terpisah. Alhamdulillah setakat ini saya dapat eratkan semula ikatan kekeluargaan dengan saudara mara dan berjumpa semula dengan beberapa orang kawan lama. Antaranya seperti yang dipaparkan di bawah. Mudah-mudahan pertemuan semula ini diredhai Allah dan membawa kebaikan kepada semua yang terlibat. Insya Allah.

6.6.2009: Jumpa Ahmad Ramli dan Yusri
Pada 6.6.2009 saya balik ke Kampong Anak Kurau untuk ziarah mak dan ayah. Di samping itu saya pergi ke rumah Ahmad Ramli di Kg. Relang yang mengadakan majlis kenduri perkahwinan adiknya. Beliau antara rakan sekelas semasa bersekolah di Sekolah Dato' Kamaruddin dahulu. Selepas 27 tahun berpisah mengikut haluan masing-masing, baru kini berjumpa semula. Beliau kini bertugas sebagai guru di SMK Seri Tangkak, Johor. Dalam pertemuan ini juga saya dapat tahun seorang rakan sekelas kami dulu, Cikgu Hamidah mengajar di SK Relang, sama dengan adik saya Cikgu Sofian.
Sebelum itu semasa makan kenduri di rumah Hj Yaakob, Simpang 4, Anak Kurau, saya jumpa Cikgu Yusri yang dikenali melalui laman forum Batu Kurau Kampongku. Sekali pandang saja dia dah cam dan tegur saya. Bila tengok sekali saya dah agak Cikgu Yusri, sebab selalu tengok gambarnya di laman forum tersebut.

4.6.2009: Pertemuan Dengan Hashim Mat Isa dan Rahman
Kesempatan bermesyuarat di Kuala Lumpur kali ini memberi peluang kepada saya berjumpa semula dengan rakan sekolah dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5 di Sekolah Dato' Kamaruddin, Batu Kurau, iaitu Saudara Hashim bin Mat Isa. Beliau kini bertugas di Ibu Pejabat Felcra, Kuala Lumpur. Selepas keluar sekolah pada tahun 1982 dahulu, inilah kali pertama kami bersua semula. Detik pertemuan ini dapat direalisasikan dengan bantuan Saudara Abdul Rahman Ahmat (Man_Ong) yang dikenali melalui laman Forum Batu Kurau Kampongku. Beliau bertugas di PDRM Bukit Aman. Terima kasih Hashim dan Man kerana sudi meluangkan masa bersama saya di Restoran Kampong Pandan tempoh hari.

2-5 Jun 2009: Mesyuarat dan Majlis Penyampaian Sijil Pengiktirafan Sekolah Kluster Kecemerlangan

Belum sempat hilang penat menguruskan Kelas Intensif Masa Cuti, terpaksa pula bergegas ke Hotel Federal Kuala Lumpur untuk menghadiri Mesyuarat dan Majlis Penyampaian Sijil Pengiktirafan Sekolah Kluster Kecemerlangan. Saya diberi kepercayaan dan penghormatan untuk mewakili Pengetua STAR ke mesyuarat dan majlis tersebut selama 4 hari 3 malam. Sesungguhya saya rasa cukup bertuah dan bersyukur kerana mendapat maklumat lengkap berkaitan sekolah kluster dari sumber pertama sendiri (KPPM, Timbalan KPPM, Pengarah & Timbalan Pengarah BPSBPSK dll). Saya juga rasa bangga kerana berpeluang bermesyuarat dan berkenal-kenalan bersama-sama Pengetua dan Penolong Kanan Sekolah Kluster dari seluruh negara. Salah seorang daripadanya rakan semasa sama-sama menuntut di Universiti Malaya dan tinggal di Kolej Keempat pada tahun 1985-88, iaitu Pn. Zahrah bt Abdul Hamid, PK Kokurikulum SMKA Al Irshad, Pulau Pinang. Inilah kali pertama dapat merasa tinggal sebilik seorang setelah menjadi Guru Cemerlang DG48.

29 Mei - 1 Jun 2009: Kelas Intensif Masa Cuti PMR & SPM
Seperti tahun-tahun yang lepas, cuti pertengahan tahun kali ini juga saya dipertanggungjawabkan untuk menguruskan program Kelas Intensif Masa Cuti untuk calon-calon PMR dan SPM di bawah Program Kecemerlangan Akademik STAR. Mulai 29 Mei hingga 1 Jun terpaksalah berulang alik ke sekolah untuk memastikan program berjalan lancar mengikut jadual dan memastikan setiap pelajar dapat makan pada waktu rehat. Saya sendiri mengadakan kelas intensif bagi mata pelajaran Geografi pada hari terakhir dari jam 8.00 pagi hingga jam 12.30 tengah hari untuk menghabiskan 4 bab. Walaupun agak penat tetapi yang penting saya dapat memberikan sedikit sumbangan tenaga dan fikiran untuk membantu pelajar mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Cuma agak terkilan dengan segelintir pelajar yang seolah-olah tidak menghargai penat lelah cikgu yang berusaha gigih membantu mereka, tetapi mereka sendiri tidak mahu dibantu.

29.5.2009: Ceramah Bahasa Melayu
Kali terakhir saya mengajar Bahasa Melayu ialah pada tahun 2003. Selepas itu saya hanya mengajar Geografi. Walau bagaimanapun, Panitia Bahasa Melayu memberi kepercayaan dan penghormatan kepada saya untuk memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada calon-calon SPM 2009 berdasarkan pengalaman dan pengetahuan yang saya ada. Kekok sedikit rasanya apabila bercakap isu-isu Bahasa Melayu kerana sudah lama tidak mengajar mata pelajaran berkenaan. Daripada maklum balas yang diterima, para pelajar berpuas hati dapat berkongsi maklumat penting dan pengalaman berharga sebagai persediaan untuk menjawab kertas soalan BM dalam peperiksaan SPM nanti. Kata orang tua-tua, tiada rotan akar pun berguna.

25.5.2009: Terima Surat Penempatan Guru Cemerlang DG48
Saya bersyukur ke hadrat Ilahi dan berterima kasih kepada Pengetua dan Penolong Kanan kerana hari ini saya telah menerima Surat Penempatan Guru Cemerlang (Geografi) memangku Gred DG48 (KUP) dan ditempatkan di sekolah yang sama. Alhamdulillah, cita-cita saya untuk menjawat jawatan baru ini tercapai juga. Insya Allah saya akan tingkatkan lagi usaha dan mencapai prestasi cemerlang sesuai dengan status Guru Cemerlang yang disandang.

24 May 2009

CORETAN MINGGU INI

24.5.2009
Menghadiri kursus haji mingguan di Masjid An-Nur, Batu 8, Ulu Kinta di bawah bimbingan Ustaz Bahari Yeop.

23.5.2009
Pergi ke Pejabat Tabung Haji Taiping bersama ibu dan ayah untuk tangkap gambar yang akan digunakan untuk urusan haji. Sempat juga mengikuti kursus haji yang disampaikan oleh sahabat lama saya, Tuan Haji Ahmad Tazli, di Masjid Batu Kurau. Pada 11.6.2009 nanti akan ke Klinik Kesihatan Batu Kurau untuk pemeriksaan kesihatan.
Walaupun belum mendapat surat tawaran untuk menunaikan fardu haji tahun ini, tetapi surat panggilan untuk ambil gambar dan pemeriksaan kesihatan ini memberi harapan bahawa peluang untuk terpilih itu ada. Insya Allah, kalau diizinkan-Nya sampailah hendaknya hajat saya ini sementara masih ada upaya.

22.5.2009

Mewakili Pengetua STAR ke majlis Sambutan Perayaan Hari Guru peringkat Daerah Kinta Utara di Silveritage Medan Gopeng, Ipoh. Dua kali saya naik ke pentas untuk menerima Anugerah Pencapaian Terbaik Peperiksaan Awam (PMR) dan Anugerah Pencapaian Terbaik Peperiksaan Awam (SPM) bagi pihak STAR. Kedua-dua anugerah dalam bentuk plak dan Sijil Penghargaan itu disampaikan oleh Tn. Hj. Muhamat Roli Bin Hassan, Timbalan Pengarah Pelajaran Perak.

Kebetulan saya duduk di sebelah Tn Hj Jamaluddin, mantan Pengetua STAR yang kini menjadi Pengetua SMK Raja Permaisuri Bainun. Banyak isu yang dibincangkan termasuk pengalaman beliau di STAR dan perbandingan dengan pengalaman di sekolah beliau sekarang. Terima kasih Tn Haji Jamaludin kerana banyak berkongsi pengalaman dan memberi tunjuk ajar kepada saya selama ini terutamanya berkaitan pengurusan dan kepimpinan sekolah.

Di samping itu dapat juga berkenalan dengan sahabat baru (gambar di atas), iaitu Ustaz Badrul Azam dari SK Jelapang yang menerima Anugerah Khas HEM. Walaupun beliau baru berkhidmat 5 tahun sebagai guru tetapi telah menunjukkan prestasi yang cemerlang hingga melayakkan beliau menerima anugerah tersebut.


21.5.2009:
Hantar kereta ke Pusat Servis EON di Jalan Kuala Kangsar untuk membaiki kerosakan bumper akibat kemalangan pada 7 Mei lalu. Nampak kerosakannya sikit saja, terkejut tengok sebut harga yang dituntut oleh pusat servis tersebut daripada pihak insuran sebanyak RM4300.

19.5.2009:
Menghadiri Program Peningkatan Profesionalisme Guru Kanan Kemanusiaan di Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Utara. Program tersebut diisi dengan ceramah yang bertajuk 'Prinsip Pengurusan dan Kepimpinan' yang disampaikan oleh En. Said bin Manap, Pegawai Pelajaran Daerah Kinta Utara.

Di samping meningkatkan pengetahuan berkaitan ilmu pengurusan dan kepimpinan, program ini juga menjadi medan pertemuan semula dengan kawan-kawan lama yang telah bertukar dan berkenalan dengan rakan sejawatan dari sekolah-sekolah lain.

18 May 2009

RANGKUMAN BERITA

18.5.2009: Sambutan hari guru peringkat sekolah diadakan pada hari ini. Tidak seperti tahun-tahun yang lepas, kali ini saya hanya menjadi penonton sahaja bagi semua acara yang dipertandingkan kerana mengikut nasihat doktor supaya banyak berehat. Hari ini juga meter elektrik rumah baru dipasang oleh pihak TNB.
14.5.2009: Menyertai pertandingan badminton sempena sambutan hari guru di Dewan Badminton DBI, Ipoh. Tapi tewas pusingan awal. Apa nak buat keadaan kesihatan tak mengizinkan saya bermain pada tahap terbaik.
7.5.2009: Terlibat dalam kemalangan kecil apabila kereta saya dirempuh dari belakang dalam perjalanan ke sekolah apabila terperangkap dalam kesesakan akibat kesibukan pihak polis bergegas ke bangunan Perak Darul Ridzuan sempena persidangan DUN Perak yang paling kecoh itu.

4.5.2009: Jalani pemeriksaan jantung di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur. Keadaan mitral valve saya masih sempit (1.3 cm berbanding yang normal 3 hingga 5 cm) tetapi tak perlu pembedahan lagi. Kalau bukaan injap tu di bawah 1 cm kena la ganti injap baru. Kalau blog ni tak update dalam tempoh yang lama, cuba-cuba la bertanya khabar. Mungkin saya dah pergi dulu. Jadi saya ambil kesempatan ini memohon ampun dan maaf jika ada apa-apa kesalahan atau kesilapan. Mana-mana yang termakan atau terminum itu harap dapat dihalalkan. Kalau saya ada terhutang atau terambil apa-apa boleh la tuntut cepat-cepat.

2.5.2009: Menghadiri kenduri kahwin Ros Idayu & Zulharman di rumah Abang Ca (Mohd Isa bin Daud) di Kg. Anak Kurau. Alhamdulillah pada majlis tersebut dapat jumpa kawan masa bersekolah di Sekolah Dato' Kamaruddin dulu, iaitu Azahari Zaman (Jaha) dari Kg. Sempeneh, Batu Kurau . Beliau kini berkhidmad di Jabatan Penjara, Langkawi. Sayangnya tak sempat bergambar dengan dia.

24.4.2009: Menyampaikan ceramah Geografi kepada pelajar STAR bersama Cikgu Azli.

22.4.2009: Pintu bilik air rumah baru sudah siap dipasang

14.4.2009: Hantar surat rayuan untuk menunaikan fardu haji tahun ini bersama ibu dan ayah, di pejabat Tabung Haji Taiping. Alhamdulillah dapat jumpa sahabat lama semasa saya bertugas di SMKA Slim River dulu. Kini beliau menjadi Pengurus di pejabat tersebut.

01 May 2009

MAKLUMAT TAMBAHAN KERJA KURSUS

Pengumuman ini ditujukan kepada pelajar-pelajar saya. Maklumat tambahan kerja kursus sudah saya upload ke laman web sekolah. Klik pada menu 'Downloads' di sebelah kiri laman web tersebut untuk dapatkan maklumat berkenaan.

18 April 2009

BAHAN RUJUKAN KERJA KURSUS GEOGRAFI

Para pelajar boleh download peta negara yang dibandingkan dan maklumat lain berkaitan tugasan kerja kursus geografi dari blog berikut: http://geogarang.blogspot.com/ . Sila siapkan tugasan anda secepat mungkin. Jangan tunggu hingga saat akhir baru nak buat.

13 April 2009

BERITA BERGAMBAR

Potret diri di tahun '86 karya Rosnan Ibrahim, Muar

Kucari damai di hati di Kg. Anak Kurau

Usah tunggu di usia senja baru nak bertamu di rumah-Nya

Hasil usaha program bumi hijau

Rumahku yang satu tiangnya berbatu

Di hari minggu kuziarahi ayah dan ibu

Ibu, dikaulah ratu hatiku!

Kaktus kutanam sudah berbunga, tapi bertahan sehari cuma

03 April 2009

MESYUARAT DI MELAKA


Saya telah diberi kepercayaan oleh Pengetua STAR untuk mewakili Penolong Kanan bagi menghadiri Mesyuarat Penolong Kanan SBP di Naza Hotel Melaka pada 31 Mac hingga 2 April 2009 yang lalu. Peluang yang diberikan ini amat berharga kerana dapat menimba pengalaman bermesyuarat dengan Pengarah dan pegawai tinggi Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Kluster bersama-sama semua Penolong Kanan SBP dari seluruh negara.
Kehadiran saya ke Melaka kali ini disambut meriah oleh ahli keluarga, sahabat handai dan rakan sekampung. Terima kasih kepada adik saya Hidayah, suaminya Zainal dan Sabri yang membawa saya ke rumah mereka di Taman Pahlawan, Umbai dan bersiar-siar sekitar bandar Melaka. Terima kasih juga kepada Hussein (dari Kg Anak Kurau) dan isteri yang bersusah payah datang dari Kem Sungai Udang untuk berjumpa di Restoran Subaidah, Hang Tuah Mall walaupun baru beberapa hari berkenalan di portal Batu Kurau Kampungku. Tak lupa diucapkan terima kasih dan penghargaan kepada sahabat saya Tuan Haji Hassim Abdul Rahman dari SMS Muzaffar Shah yang sudi belanja makan ikan bakar di Perkampungan Ikan Bakar Terapung Umbai dan melawat sekitar Perkampungan Warisan Melayu Kampung Morten.
Bukan itu sahaja, saya juga dapat berjumpa semula dengan rakan lama semasa menuntut di Universiti Malaya dahulu, iaitu Asmui Mustafa (PK SBPI Temerloh), Zubidah (PK Sekolah Seri Puteri) dan suaminya (PK SMS Alam Shah). Terima kasih Safuan (PK MCKK) kerana sudi jadi room mate dan menumpangkan saya balik ke Ipoh.
Pada awalnya apabila saya diminta oleh PK dan Pengetua untuk menghadiri mesyuarat tersebut, rasa berat juga kerana keadaan kesihatan yang kurang baik dan keputusan SPM yang tidak cukup cemerlang. Walaupun begitu saya gagahi juga menunaikan amanah yang diberikan itu dalam serba kepayahan. Rupa-rupanya ada hikmah yang cukup besar di sebaliknya. Syukurlah kepada-Nya kerana mengaturkan pertemuan di kota bersejarah ini bagi menyambung semula silaturrahim.

27 March 2009

MERIAHNYA KENDURI DI KAMPUNG


Sempena cuti sekolah minggu lalu saya balik ke kampong Anak Kurau untuk menziarahi ibu bapa dan ahli keluarga. Saya dijemput makan kenduri di rumah Awang Keria (anak arwah Imam Yahya) di Anak Kurau dan Paklong Suboh di Bendang Nering.
Alhamdulillah di samping dapat menikmati keenakan daging kerbau dan nasi minyak yang dihidangkan, yang penting sekali dapat bertemu kembali dengan sanak saudara dan sahabat handai yang telah sekian lama terpisah. Terutama sekali rakan sekelas dari darjah satu di SK Anak Kurau, dua pupu saya Hadri Yusof, Mat Asin, Mat Piah dan Razak (Jak) di Bendang Nering. Saya juga dapat menyaksikan seorang lagi rakan sekelas dulu, Saadon (Cakdon) bersilat. Gaya dia bersilat mengingatkan saya kepada arwah Tok Adam bersilat dulu.
Sesungguhnya majlis kenduri di kampung memang meriah. Sanak saudara dan jiran tetangga datang beramai-ramai bergotong royong membuat persediaan sebelum kenduri, masak-memasak, menghidang, membasuh dan sebagainya. Malah YB Adun Batu Kurau turut menyiang ikan dan potong bawang bersama-sama.
Syukurlah kerana masyarakat di kampung saya masih bersatu padu, bekerjasama dan hubungan antara satu sama lain masih erat tanpa mengira fahaman politik. Diharap kemeriahan, kerjasama dan perpaduan seperti yang ditunjukkan semasa diadakan majlis kenduri seperti ini dapat diteruskan selama-lamanya. Lebih baik lagi jika para pemimpin dan masyarakat di kampung dapat menggembleng tenaga untuk memajukan lagi kampung kita seperti menaik taraf infrastruktur, kegiatan ekonomi, pendidikan, sukan dan sebagainya.

18 March 2009

CERMIN PINTU DAN TINGKAP


Hari ini, 18.3.2009 rumah saya sudah siap dipasang cermin pintu dan tingkap. Bahagian yang mengadap jalan saya gunakan reflected glass manakala bahagian belakang dan dapur hanya gunakan tinted glass warna hitam untuk jimatkan kos. Tapi bila tengok yang reflected glass tu begitu cantik rasa menyesal pulak tak gunakan semua cermin jenis itu. Tak apalah, insya Allah kalau ada rezeki lebih tahun-tahun akan datang boleh la tukar yang tinted tu kepada reflected glass pulak.
Di samping itu kerja memasang pendawaian elektrik juga sudah dimulakan hari ini. Kerja pendawaian elektrik ini dijangka akan siap minggu ini juga. Syukurlah kerana rumah baru saya sudah hampir siap sepenuhnya.

11 March 2009

KENDURI


Alhamdulillah, kenduri kahwin adik saya Cikgu Sofian dapat dilaksanakan dengan baik dan lancar. Saya bagi pihak keluarga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada sanak saudara, sahabat handai dan jiran tetangga yang bergotong royong, berganding bahu membuat persediaan, memasak, menghidang dan membersih sama ada sebelum, semasa atau pun selepas kenduri. Hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalas budi baik kalian.
Antara acara menarik pada hari tersebut ialah, majlis Berzanji, Marhaban & naik buai Zulaikha, anak adik bongsu saya Hidayah; majlis perarakan pengantin dan bersanding; acara memotong kek; sesi fotografi dan diakhiri dengan ceramah Maulidur Rasul yang disampaikan oleh adik saya Ustaz Sabri pada sebelah malamnya di Sekolah Agama Rakyat.
Semoga majlis ini meninggalkan kenangan indah dan bermakna kepada kedua-dua mempelai dan juga kepada para tetamu yang hadir. Andai kata ada apa-apa kekurangan dan kelemahan semasa majlis ini berlangsung, saya bagi pihak keluarga memohon ampun dan maaf.

PAGAR, PINTU & CAT


Minggu ini pagar sudah siap. Pintu bilik sudah dipasang. Bilik juga sudah dicat. Dijangka kerja mengecat dapat diselesaikan minggu ini.

07 March 2009

PERSANDINGAN PIAN



Majlis persandingan Sofian & Adilah telah dilangsungkan di rumah pengantin perempuan di Kampong Paya, Batu Kurau sekitar jam 12.30 th tadi. Persandingan mereka disaksikan ahli keluarga kedua-dua belah pihak, sahabat handai dan para tetamu. Selamat pengantin baru diucapkan kepada kedua-dua mempelai. Didoakan semoga berbahagia hingga ke anak cucu.

06 March 2009

AKAD NIKAH PIAN


Hari ini 6.3.2009 rasmilah sudah ikatan perkahwinan adik saya Mohd Sofian dengan Adilah. Majlis akad nikah telah disempurnakan pada jam 5.30 ptg di Masjid Al-Kurauwi, pekan Batu Kurau oleh Naib Kadhi Haji Abdul Wahab dengan disaksikan oleh ahli keluarga kedua-dua belah pihak. Esok akan diadakan kenduri dan majlis persandingan di rumah pengantin perempuan.

05 March 2009

CAT LUAR SIAP DAH


Hari ini kerja mengecat bahagian luar rumah sudah siap. Bahagian dalam baru siap sapu sealer. Insya Allah minggu depan dapat disiapkan semuanya.

02 March 2009

RUMAH MULA DICAT


Minggu ini kerja pembinaan rumah saya berfokus kepada proses mengecat. Proses ini dijangka mengambil masa selama seminggu untuk disiapkan. Kerja pemasangan tiles yang dijalankan pada minggu lalu belum siap sepenuhnya, tetapi sudah sampai ke peringkat akhir.

26 February 2009

UNDANGAN KE MAJLIS PERKAHWINAN

Cikgu Zabidi dan Cikgu Sofian
Pelan rumah (Klik gambar untuk besarkan)
Saya bagi pihak keluarga mempersilakan saudara-mara dan sahabat handai yang mengunjungi laman blog saya ini ke majlis perkahwinan adik saya Mohd Sofian bin Nordin dengan Adilah bt Sahidan pada hari Ahad, 8 Mac 2009 di Kg. Anak Kurau, Batu Kurau, Perak. Semoga dengan kehadiran dan iringan doa restu hadirin sekalian akan menyerikan lagi majlis ini serta mendapat keberkatan Allah SWT Insya Allah.

23 February 2009

FLOOR FINISHES


Mulai minggu lepas (20.2.2009) kerja-kerja memasang ceramic tiles telah dijalankan. Walaupun rumah nampak cantik tetapi tiles yang saya pilih hanya yang kos sederhana sahaja untuk menjimatkan kos. Kalau ada rezeki pada masa akan datang boleh la tukar tiles yang mahal sikit. Dijangka hujung minggu ini kerja-kerja tersebut dapat disiapkan. Insya Allah minggu depan kerja mengecat pula akan dilakukan. Alhamdulillah nampaknya pembinaan rumah baru saya berjalan lancar dan hampir siap.

21 February 2009

KOLOKIUM SBP DI PORT DICKSON


Pada 17-19 Feb 2009 yang lalu saya telah menghadiri Kolokium Mata Pelajaran Teras Sekolah Berasrama Penuh di Selesa Beach Resort, Port Dickson. Kolokium selama 3 hari 2 malam tersebut diisi dengan ucapan dan pembentangan kertas kerja yang mencakupi pelbagai isu seperti transformasi pendidikan, wawasan SBP, kurikulum, membangunkan modal insan, kebajikan guru-guru SBP dan lain-lain lagi. Para perucap dan pembentang kertas kerja terdiri daripada pegawai tinggi di KPM seperti Timbalan KPPM, Pengarah Bahagian SBP dan Sekolah Kluster serta timbalannya, pegawai Bahagian Pembangunan Kurikulum, Lembaga Peperiksaan dan Jemaah Nazir.
Selain mendapat pelbagai input berguna, dapat juga bertemu dan bertukar-tukar fikiran dengan rakan-rakan penolong kanan dan ketua bidang SBP dari seluruh negara. Pada waktu rehat pula sempat juga membaca, bersantai di pantai dan memancing.

10 February 2009

PEMBINAAN RUMAH DISAMBUNG


Selepas bercuti selama 2 minggu, kerja pembinaan rumah disambung semula pada 6 Februari lalu dengan memasang siling. Kerja memasang siling ini dijangka akan selesai esok, 11 Februari. Lepas itu kerja memasang jubin lantai dijangka akan dimulakan.

09 February 2009

SELAMAT PENGANTIN BARU AIDA & FAKHRY


Pak Lang sekeluarga mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada Nor Aida Fadhila bt Zakaria (Aida) dan Syed Al-Fakhry Wafa bin Syed Fairuz Wafa (Fakhry) yang telah melangsungkan perkahwinan pada 7.2.2009 yang lalu. Pak Lang doakan semoga Aida & suami kekal bahagia hingga ke hujung nyawa dan dikurniakan anak cucu yang beriman dan bertaqwa.
Istimewanya majlis perkahwinan ini ialah isteri dan anak saya menjadi juru gambar rasmi yang merakamkan setiap acara majlis bersejarah yang menjadi memori indah bagi kedua mempelai. Inilah projek pertama mereka untuk memulakan perkhidmatan rakaman majlis perkahwinan. Isteri saya, Ruzita berpengalaman sebagai jurufoto lebih 20 tahun di Institut Perguruan Sultan Idris dan Institut Perguruan Ipoh. Kalau ada sesiapa yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan fotografi boleh hubungi saya atau isteri saya.
Zabidi: 016-5994872 mdzabidi@yahoo.com
Ruzita: 013-5843101

05 February 2009

PANITIA CEMERLANG PMR 2008 - GEOGRAFI


Pada 2 Februari 2009 yang lepas saya telah menerima Anugerah Panitia Cemerlang PMR 2008 bagi Panitia Geografi. Anugerah berupa Sijil Penghargaan dan cenderamata itu disampaikan oleh Pengarah Pelajaran Perak, Tuan Haji Mohd Radzi bin Abdul Jabar pada Majlis Penghargaan Pencapaian Cemerlang PMR 2008 di dewan sekolah. Ini merupakan kali ketiga berturut-turut saya menerima anugerah sedemikian rupa, bermula pada PMR 2006 sejak mula mengajar Geografi. Sesungguhnya pengiktirafan sebegini dapat mendorong saya meningkatkan usaha untuk terus mencatat prestasi cemerlang khususnya bagi mata pelajaran yang saya ajar. Alhamdulillah.
Klik di sini untuk membaca berita berkaitan.

02 February 2009

GAMBAR KELAS 2S


Pelajar saya di kelas tingkatan 2S ini merupakan antara pelajar yang cerdik dan berpotensi besar untuk memperoleh 8A dalam PMR tahun depan. Data head count bagi subjek Geografi menunjukkan sebahagian besar mereka memperoleh markah melebihi 85. Hampir semua mereka meletakkan target untuk mencapai 90 markah ke atas. Insya Allah saya akan berusaha keras membantu mereka merealisasikan sasaran 100% A.

31 January 2009

GAMBAR KELAS 1A


Ketiga bertugas pada masa cuti akhir tahun lepas, saya didatangi salah seorang pelajar kelas 1A ini bersama ibu bapa dan adik beradiknya. Saya dapati mereka begitu bangga dan teruja apabila menerima tawaran untuk belajar di STAR. Kedatangan mereka dari bandar dengan kereta besar bertujuan untuk meninjau perjalanan ke STAR, persediaan awal yang perlu dilakukan dan kemudahan yang terdapat di STAR. Daripada perbualan saya dengan mereka jelas menunjukkan ibu bapa dan anak sangat berpandangan jauh dan bersedia menghadapi apa saja cabaran di sekolah yang lama ini demi untuk merealisasikan cita-cita besar si anak. Tahniah saya ucapkan dan didoakan semoga pelajar berkenaan terus cekal, tabah dan komited hingga membawa kejayaan cemerlang apabila keluar dari STAR 5 tahun lagi.
Semasa balik ke kampung untuk melihat anak saudara yang baru lahir minggu lepas, saya dimaklumkan bahawa seorang anak petani yang miskin telah menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran di STAR. Malangnya mereka telah membuat keputusan untuk tidak menghantar anak mereka ke STAR. Antara alasan yang diberikan, mereka tidak berduit, jauh dari rumah dan banyak lagi. Saya cuba memujuk dan maklumkan bahawa pelbagai bantuan dan biasiswa akan diberikan, tetapi keputusan mereka tetap sama.
SBP ditubuhkan oleh kerajaan pada asalnya untuk membantu pelajar luar bandar yang miskin mendapatkan pendidikan yang lebih baik supaya mereka berjaya meningkatkan taraf ekonomi keluarga pada masa akan datang. Tetapi daripada dua situasi di atas, nampaknya pelajar bandar yang nampak kelebihan belajar SBP dan berusaha merebut peluang yang terhad itu. Sebaliknya pelajar luar bandar tidak rasa rugi apa-apa melepaskan peluang besar yang diberikan kepada mereka dan lebih selesa terkurung di bawah tempurung kemiskinan yang diwarisi. Di mana silapnya? Bagaimana dapat kita sedarkan mereka supaya menjadi orang yang berjiwa besar dan berani berhadapan dengan apa jua cabaran?

30 January 2009

GAMBAR KELAS 1T


Pendaftaran pelajar baru tingkatan 1 telah dijalankan pada 12 Januari 2009 yang lalu. Saya diamanahkan untuk mengajar mata pelajaran Geografi di kelas 1S dan 1T. Sudah menjadi amalan saya untuk mengambil gambar pelajar saya dan masukkan dalam fail kelas untuk memudahkan saya mengingati setiap pelajar saya. Gambar ini juga membantu saya ketika memberi komen dalam slip ujian dan peperiksaan dan juga ketika berhadapan dengan ibu bapa apabila diadakan Program Bersama Waris. Maklum sajalah murid ramai, susah nak ingat semua. Dengan adanya gambar ini dapatlah dirujuk semula kalau lupa.

25 January 2009

GAMBAR RUMAH


Sempena Tahun Baru Cina, kontraktor akan bercuti selama 2 minggu. Sebelum cuti, beberapa kerja telah disiapkan. Antaranya pagar, longkang, atap dan lain-lain kerja simen.

ZULAIKHA ZAINAL


Keluarga besar saya bertambah seorang lagi dengan kelahiran Zulaikha bt Zainal, anak adik bongsu saya Norhidayah (Ida) pada 20.1.2009 bersamaan 23 Muharam 1430H, jam 12.18 th di Hospital Taiping. Selamat menimang cahayamata diucapkan kepada Ida & Zainal.

21 January 2009

KERJA SIMEN HAMPIR SIAP


Sepanjang minggu lepas dan minggu ini, kerja pembinaan rumah bertumpu kepada kerja-kerja simen. Ini termasuklah plaster dinding dalam dan luar, lining, slab, longkang, driveway dan lain-lain lagi. Minggu depan kontraktor akan bercuti selama dua minggu sempena Tahun Baru Cina.

08 January 2009

ATAP DAH PASANG


Hari ini atap mula dipasang di bumbung dan dijangka siap sepenuhnya hujung minggu ini. Di samping itu mainhole untuk sistem pembetungan juga sudah disimen. Manakala tiang pagar pula sudah dipasang topinya.

07 January 2009

RANGKA PINTU DAN TINGKAP


Minggu ini pembinaan rumah saya sampai ke peringkat memasang rangka-rangka pintu dan tingkap. Sementara kerja melepa (plaster) diteruskan ke bahagian dinding luar, tiang dan rc gutter. Hari ini roof tiles dah sampai ke tapak dan kerja pemasangannya di bumbung dijangka akan dimulakan esok.

05 January 2009

SELADANG MUDA MAMPU BERSAING

Bersama penyokong setia Perak daripada geng yob4ever.com

Sebelum sepak mula Liga Super membuka tirai, tidak ramai yang menaruh harapan terhadap pemain-pemain muda pasukan bola sepak Perak. Malah ada yang membayangkan barisan pemain muda ini bakal menjadi pasukan belasahan dalam kancah Liga Malaysia. Sasaran yang diletakkan juga sekadar untuk kekal dalam Liga Super dan tidak terjerumus ke Liga Perdana pada tahun hadapan.
Namun setelah menyaksikan sendiri aksi bertenaga dan semangat juang tinggi mereka ketika memalukan barisan pemain berpengalaman KM Naza pada perlawanan pembukaan di Stadium Perak pada 3.1.09 yang lepas, saya yakin pasukan seladang muda ini mampu memberi saingan terhadap pasukan-pasukan lain. Kemenangan 2 - 0 yang memberi 3 mata penuh kepada pasukan Perak telah membuka mata banyak pihak terhadap potensi yang ada pada bakat-bakat baru ini.
Walau bagaimanapun masih banyak yang perlu diperbaiki dan ditingkatkan untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pasukan-pasukan ternama yang sudah mantap di semua bahagian seperti Selangor dan Kedah. Diharap mereka cepat matang daripada pengalaman dan menerapkan segala tunjuk ajar daripada jurulatih di atas padang dalam setiap perlawanan yang dihadapi. Mudah-mudahan pasukan kesayangan Kejor Yob Kejor ini berupaya merangkul sekurang-kurangnya 1 piala tahun ini.

02 January 2009

DAH MULA PLASTER


Pada minggu ini kerja-kerja plaster atau melepa telah dijalankan. Bahagian yang diplaster dulu ialah bahagian pagar, rc gutter dan tiang. Bahagian dinding belum diplaster lagi kerana bumbung belum dipasang. Kerja melepa dijangka siap pada akhir minggu depan.