21 February 2010

REUNION PELAJAR SMKA SLIM RIVER




Alhamdulillah, dapat juga saya turut serta dalam Majlis Makan Malam Amal Alumni bersama-sama bekas pelajar dan guru SMKA Slim River pada hari Sabtu, 20 Februari 2010 jam 8.00 – 10.30 malam di Dewan Saidina Abu Bakar, SMKA Slim River. Dapatlah berjumpa semula dengan sahabat lama yang sama-sama bertugas membuka sekolah tersebut, iaitu Cikgu Zulkifli Awang bersama rakan-rakan guru dulu iaitu Cikgu Jasnani, Cikgu Rozita dan Cikgu Hendon. Turut hadir sama ialah Ustaz Wan Karim selaku Pengetua sekarang yang juga bekas Pensyarah saya di IPSI dulu dan Ustaz Sulaiman, bekas pelajar saya dulu yang kini menjadi guru di sekolah tersebut sekarang.
Ramai juga bekas pelajar saya sesi 1994-1998 dulu yang hadir, kebanyakannya sudah berumah tangga dan membawa bersama pasangan dan anak masing-masing. Sebahagian besarnya saya masih ingat rupa dan nama, tapi ada juga yang dah lupa. Maklumlah dah lama tak jumpa. Ada antaranya yang selalu jumpa dalam Facebook. Shukurlah kerana kemudahan ICT yang ada hari ini dapat merapatkan semula silaturrahim antara kita tanpa batasan dan sempadan. Saya turut berbangga dengan kejayaan mereka dalam pendidikan dan kerjaya. Dapat saya rumuskan bahawa matlamat penubuhan SMKA untuk melahirkan modal insan profesional islamik sudah berhasil. Tahniah semua!
Saya antara guru yang terawal bertugas di SMKA Slim River yang mula dibuka pada tahun 1993 bersama Pengetua pertama, Ustaz Ahmad bin Abd Hamid dan Penolong Kanan pertama Ustaz Ramli Hassan. Saya bertugas di sana sebagai guru Bahasa Melayu hingga tahun 1999. Antara jawatan yang disandang ialah Guru Kanan Kokurikulum, Guru Kanan Bahasa, Pengasas Kelab Tenis, Guru Koperasi, Guru ICT, Setiausaha PIBG dan lain-lain. Terlalu banyak pengalaman dan kenangan yang masih segar di ingatan.
Mudah-mudahan program seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dengan pelbagai aktiviti yang lebih menarik dan penyertaan yang lebih ramai lagi.