31 December 2008

STAR CEMERLANG DALAM PMR - TAHNIAH!

Pencapaian STAR dalam peperiksaan PMR 2008 yang diumumkan semalam menunjukkan peningkatan yang membanggakan. Daripada 117 calon yang mengambil peperiksaan tersebut, 86 orang calon (73.5%) mendapat semua A (8A) dalam semua subjek yang diambil. Dengan pencapaian ini, STAR menduduki tempat pertama di negeri Perak mengatasi MCKK dan SBP yang lain di Perak.
Bagi mata pelajaran Geografi yang saya ajar, seramai 113 calon (96.6%) memperoleh gred A dan 4 orang pelajar (3.4%) mendapat gred B sedangkan saya mensasarkan untuk pencapaian 100% gred A. Walau bagaimanapun saya bersyukur kerana pencapaian ini masih dalam kategori cemerlang.
Sehubungan itu saya mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Azli dan Cikgu Cho Lai Fuen yang turut mengajar mata pelajaran Geografi serta ucapan tahniah kepada calon-calon PMR STAR 2008 atas pencapaian yang cemerlang tersebut.

29 December 2008

SELAMAT TAHUN BARU HIJRIAH 1430

Hari ini 1 Muharram 1430 (29.12.08), umat Islam meraikan kedatangan tahun baru dalam kalender Islam yang diambil sempena peristiwa Hijrah Rasulullah SAW dari Kota Mekah ke Kota Madinah.
Semalam 30 Zulhijjah 1429 (28.12.08) saya menghadiri majlis sambutan Di Ambang Maal Hijrah peringkat Negeri Perak yang diadakan di Masjid An-Nur, Batu 8, Ulu Kinta. Tetamu kehormat yang hadir dalam majlis tersebut ialah YAB Menteri Besar Perak.
Majlis bermula dengan Solat Asar, diikuti dengan tazkirah Maal Hijrah oleh Ustaz Tarmizi. Kira-kira jam 6.00 ptg YAB Menteri Besar tiba dan menyampaikan perutusan Maal Hijrah dengan penuh semangat dan diikuti majlis penyampaian hadiah.
Selepas itu diadakan majlis bacaan Yasin dan tahlil yang diketuai oleh Sheikh Mohd Nor Mansur Al Hafiz. Sebelum masuk waktu Maghrib, Imam Suhaimi membaca doa akhir tahun dan selepas azan maghrib beliau membaca doa awal tahun. Majlis diakhiri dengan Forum Perdana selepas solat Isyak. Ahli panelnya terdiri daripada Ustaz Ridzuan Tee Abdullah dan Ustaz Ismail Hashim.
Alhamdulillah, banyak pengetahuan dan pengajaran yang dapat ditimba daripada program yang saya hadiri ini untuk dijadikan renungan dan diamalkan dalam kehidupan seharian. Insya Allah saya akan buka lembaran baru hidup saya dengan berhijrah daripada apa-apa kekurangan, kelemahan dan kemungkaran kepada cara hidup Islam yang lebih sempurna. Mudah-mudahan mendapat keberkatan dan keredhaan Allah di dunia dan akhirat.

28 December 2008

PENDAWAIAN ELEKTRIK & SALURAN PAIP


Pada minggu ini telah dijalankan kerja memasang paip saluran pendawaian elektrik dan saluran paip air. Kerja-kerja awal ini dijalankan supaya kerja melepa (plaster) dinding dapat dijalankan selepas ini, yang dijangka pada minggu depan.

22 December 2008

LAGI GAMBAR PAGAR DAN KEKUDA



Sepanjang minggu lepas kerja memasang pagar dan kekuda dijalankan dengan giat dan akan diteruskan minggu ini hingga siap. Hari ini saya akan berbincang dengan kontraktor untuk memilih atap dan pintu bilik air. Dijangka minggu ini kerja membina pagar dan kekuda akan siap dan atap akan dipasang minggu depan.

ZIARAH KELUARGA DI KAMPUNG


Hujung minggu lepas saya balik ke Kampung Anak Kurau untuk ziarah keluarga, terutamanya mak dan ayah. Alhamdulillah kedua-duanya masih sihat. Kebetulan pada hari Sabtu, 20.12.08 ada kenduri kahwin cucu Chei Kernai, iaitu Maliki. Dapat juga merasa nasi minyak dan kari lembu yang enak, di samping mengeratkan semula silaturrahim dengan saudara mara jauh dan dekat.
Selain itu sempat juga saya ziarah adik Ida di wad bersalin, Hospital Taiping. Ingatkan dah boleh tengok baby, tapi rasanya lambat lagi tu. Lagipun due datenya bulan 2 tahun depan.
Gambar di atas antara yang sempat dirakam semasa berada di kampung.

17 December 2008

MASJID AN-NUR BATU 8 ULU KINTA

Petang tadi saya berpeluang merakam gambar Masjid An-Nur, Batu 8, Ulu Kinta yang dilingkungi pelangi. Di masjid inilah saya solat berjemaah dan menghadiri majlis ilmu yang diadakan hampir setiap hari, terdiri daripada kuliah maghrib, kuliah subuh dan juga kursus haji.

ROOF TRUSS & FENCING


Sepanjang minggu lepas tiada apa-apa kerja dibuat di tapak. Minggu ini, mulai hari Selasa, 16.12.2008 kerja-kerja memasang kekuda besi (iron truss) telah dimulakan dan dijangka siap dalam masa seminggu. Ketebalan besi yang digunakan ialah 0.75. Hari ini, Rabu, 17.12.2009 kerja-kerja membuat pagar (fencing) telah dimulakan dengan mengikat bata. Bahagian lantai juga telah mula disimen semula dengan satu lapisan BRC (9" x 9").

07 December 2008

Selamat Hari Raya Aidil Adha 1429

Assalamualaikum WBT
Kami sekeluarga mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha khasnya kepada pengunjung laman blog ini. Sama-samalah kita mengambil IKTIBAR dari peristiwa PENGORBANAN Nabi Allah Ibrahim a.s. dan anakanda baginda Nabi Ismail a.s. untuk DIHAYATI dalam kehidupan kita seharian. Semoga kita semua menginsafi diri dan menyelami erti pengorbanan yang tersirat di sebalik sambutan hari raya ini.
Salam hormat daripada Zabidi, Ruzita, Hafiz & Amir

04 December 2008

KONKRIT BEAM SUDAH DIBUKA


Semalam, 3.12.08 (Rabu) konkrit beam sudah mula dibuka, tetapi ada lagi bahagian yang belum siap dibuka. Tetapi ada beberapa bahagian yang nampak kurang memuaskan seperti gambar di atas.

02 December 2008

FORM WORK & KONKRIT


Selepas kira-kira seminggu dijalankan kerja-kerja memasang rangka / acuan beam atas dan RC gutter (form work), hari ini Selasa, 2.12.2008 acuan tertebut telah diisi konkrit. Encik Sharul Musdin, pelukis pelan rumah ini turut hadir memantau untuk memastikan bahan binaan mengikut spesifikasi yang ditetapkan dan kerja dijalankan dengan sempurna.

22 November 2008

LANTAI, MANHOLE & BEAM ATAS


Semalam, Jumaat, 21.11.08 bahagian lantai sudah disimen, tetapi sebelah petang hujan turun lebat sebelum simen kering. Saluran paip saiz 6" ke tangki septik juga sudah dipasang. Hari ini, Sabtu, 22.11.08 mainhole sudah dipasang dan kerja memasang acuan beam bahagian atas sedang dijalankan oleh 3 orang pekerja. Tiang yang condong sebelum ini pun sudah ditegakkan dengan cara menyangga dengan kayu.

19 November 2008

DINDING SIAP DIPASANG


Hari ini, Rabu, 19.11.2008 kerja-kerja pemasangan bata dinding telah siap mengikut jangkaan kontraktor. Saluran paip lama saiz 4 inci telah dikeluarkan dan akan diganti dengan saluran paip 6 inci.

18 November 2008

SELAMAT PENGANTIN BARU: ZAMRI & AZIE



Pada 16.11.2008 saya menghadiri majlis kenduri kahwin anak saudara saya Mohd Zamri bin Abd Aziz atau lebih dikenali dengan nama Yatim dengan Azimah di Kg Raja Uda, Pelabuhan Klang. Alhamdulillah saya dapat berjumpa ahli keluarga dan sanak saudara jauh dan dekat, dapatlah eratkan kembali silaturrahim.

Saya ucapkan selamat pengantin baru kepada pasangan pengantin baru. Didoakan semoga kekal bahagia hingga ke hujung nyawa dan melahirkan zuriat yang beriman dan bertaqwa serta dapat berbakti kepada ibu bapa, agama, bangsa dan negara apabila dewasa kelak.

14 November 2008

TEMUDUGA PENSYARAH IAB

Saya telah menerima surat panggilan temuduga sebagai Pensyarah Kanan Institut Aminuddin Baki DG 48. Temuduga dijalankan pada hari Khamis, 13.11.2008 di IAB Utara pada jam 8.30 hingga 12.30 tengah hari dalam dua sesi. Pada sesi pertama saya diminta menjawab soalan- soalan objektif secara online menggunakan komputer dalam dua set. Set pertama terdiri daripada 75 soalan dan set kedua 100 soalan. Selepas itu baru ditemuduga secara lisa oleh dua orang pegawai penilai.
Saya bersyukur kerana diberi peluang menghadiri temuduga ini walaupun tidak memohon jawatan berkenaan. Saya tidak mengharapkan sangat jawatan pensyarah IAB ini, sebaliknya saya lebih berminat untuk menjadi Guru Cemerlang Gred DG48 yang telah saya pohon dan menunggu keputusannya. Walau bagaimanapun sekurang-kurangnya saya dapat menimba pengalaman ditemuduga sebagai persediaan untuk berhadapan dengan pegawai penilai bagi jawatan Guru Cemerlang nanti.

DINDING MULA DIBINA


Gambar atas dirakam pada 17.11.2008



Semalam, 13 November 2008 kerja-kerja mengikat bata bagi membuat dinding telah dimulakan. Setakat ini nampaknya kerja yang dijalankan kemas dan lancar.

08 November 2008

ZIARAH SMKA SLIM RIVER

Gambar antara 1993-1996

Gambar pada 11.10.2008
Pada 11 Oktober 2008 yang lalu saya menziarahi SMKA Slim River, di samping menghadiri majlis kenduri di rumah saudara saya di Taman Slim Indah. Saya telah berkhidmat di sekolah tersebut pada tahun 1993 hingga 1999. Banyak pengalaman menarik yang saya timba ketika berkhidmat di SMKA Slim River terutamanya pengalaman sebagai antara guru awal yang bertugas ketika sekolah ini mula dibuka. Gambar-gambar di atas dapat menceritakan kerja kami waktu itu. Antara jawatan penting yang saya sandang ialah Guru Kanan Kokurikulum, Ketua Bidang Bahasa dan Setiausaha PIBG.


Selepas hampir 10 tahun saya meninggalkan sekolah tersebut, hari ini persekitarannya sudah nampak perubahan yang agak ketara. Pokok-pokok bunga sudah hidup subur dengan lanskap yang menarik. Bangunan baru bertambah dan bangunan lama sudah dicat semula dengan warna yang lebih menarik dan banyak kemudahan yang telah dilengkapkan.


Saya doakan SMKA Slim River terus cemerlang, gemilang dan terbilang dalam bidang akademik, kokurikulum, sahsiah dan kepimpinan. Semoga modal insan profesional yang berpegang teguh kepada Islam dapat dilahirkan oleh para pendidik untuk mendepani cabaran masa depan negara.

31 October 2008

KUAT KE SIMEN NI?








Semalam saya melawat tapak projek rumah macam biasa untuk memantau perkembangannya. Selepas diteliti betul-betul setiap tiang saya rasa agak curiga dengan kualiti simen yang digunakan. Cuba lihat gambar di atas, nampak tiang tu mudah pecah dan relai macam kurang simen. Lebih curiga bila saya dapati ada beg simen di bahagian bawah tiang tu. Entah berapa banyak lagi beg simen yang ada dalam tiang tu? Apa tujuan dimasukkan beg simen tu? Lebih hairan bila tengok di sekitar kawasan bancuhan simen tu tak banyak beg simen kosong. Diharap kalau ada engineer yang lawat laman blog ini sudilah kiranya berikan pandangan terhadap persoalan ini. Saya nak minta pihak kontraktor berikan penjelasan.

28 October 2008

Pemasangan Tiang Siap

Semua tiang simen sudah dibuka kotak acuannya

Tiang sebelah kiri kelihatan senget sedikit

Kerja membuat tiang telah siap dan dibuka kotak acuannya hari ini (28.10.2008). Simen telah dimasukkan dalam kotak acuan semalam (27.10.2008). Pada pandangan mata kasar, saya dapati sebatang tiang bahagian hadapan sebelah kiri sekali agak senget sedikit. Adakah boleh dibetulkan semula bila dah plaster nanti?

23 October 2008

Pemasangan Tiang

Gambar pada 22.10.2008

Gambar pada 23.10.2008

Kerja-kerja pemasangan tiang dimulakan pada hari Rabu, 22.10.2008 dan disambung pada hari Khamis, 23.10.2008 seperti yang dapat diperhatikan dalam gambar di atas. Pasir juga sudah ditambak di bahagian lantai hingga penuh.

Tangki Septik

Gambar 1: Tangki septik dan saluran keluar ke longkang

Gambar 2: Maklumat pada tangki septik

Gambar 3: Saluran paip dari bilik air ke tangki septik

Tangki septik telah dipasang di lokasi seperti dalam plan pada hari Rabu, 22.10.2008 dan saluran paip dari setiap bilik air ke tangki septik dipasang pada hari Khamis, 23.10.2008. Kalau ikut spesifikasi dalam plan, dicadangkan guna UPVC soli pipe 6". Saya tak pasti sama ada paip dan tangki septik seperti dalam gambar di atas ikut spesifikasi yang ditetapkan. Selain itu saya tak nampak manhole dibuat. Kalau ikut dalam plan perlu ada 4 manhole. Harap En. Sharul dapat pantau dan ulas sikit persoalan yang saya timbulkan di sini.




21 October 2008

Beam Siap Dibina

Gambar 1: Masukkan simen

Gambar 2: Kotak acuan dibuka

Gambar 3: Kecacatan yang dikesan

Kerja memasang beam sudah disiapkan pada hari Sabtu, 18.10.2008. Gambar atas menunjukkan simen dimasukkan dalam kotak acuan. Kerja ini dijalankan pada 17.10.2008. Manakala gambar bawah pula menunjukkan kotak acuan beam yang sudah dibuka pada 18.10.2008, iaitu sehari selepas simen dimasukkan. Kecacatan yang saya dapat kesan ialah saluran air di tiang porch sebelah kanan terjungkit ke atas (gambar 3). Keadaan ini mungkin boleh menyebabkan aliran air dari gutter tidak mengalir sepenuhnya ke longkang dan bertakung dalam saluran berkenaan. Di harap kontraktor boleh berikan penjelasan dan betulkan semula.

15 October 2008

Kerja Binaan Rumah Disambung


Atas: Gambar pada 16.10.2008
Bawah: Gambar pada 15.10.2008




Hari ini, 15.10.2008 kerja binaan rumah baru saya disambung semula. Kontraktor telah memasang kerangka papan untuk membuat beam seperti dalam gambar di atas. Saya tengok acuan simen tu agak kecil dan besi tetulangnya pun kecil. Sesiapa yang ada kepakaran atau pengalaman berkaitan kerja pembinaan rumah diharap dapat beri komen untuk membantu saya memantau kerja-kerja binaan rumah ini.

02 October 2008

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI


Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, saya telah menulis kata-kata ucapan yang indah, puitis dan bermakna untuk dikirim kepada sanak saudara dan sahabat handai melalui sms seperti berikut;
"Nikmat Aidilfitri anugerah Ilahi masa hidup di sini. Hiasi detik waktu yang dilalui dengan iman dan taqwa untuk bahagia abadi di sana nanti. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Mohon maaf zahir dan batin."
Sebagai balasan kepada sms raya yang diterima, saya ungkapkan kata-kata berikut;
"Terima kasih atas ingatan ikhlas di hari raya ini. Semoga hubungan erat terus berkekalan. Mohon maaf andai ada salah dan silap."
Saya tujukan kedua-dua ucapan ini kepada sesiapa saja saudara, kenalan, pelajar, bekas pelajar dan pengunjung laman blog ini, yang tak sempat saya kirim melalui sms atau yang tak dapat saya hubungi.

25 September 2008

TAMBAK PASIR

Bahagian depan

Bahagian belakang



Pada 23 September, kerja menambak pasir di tapak rumah telah dijalankan. Tujuannya untuk meninggikan tapak rumah daripada aras jalan raya.

23 September 2008

KG ANAK KURAU

Kg Anak Kurau dilihat dari udara

19 September 2008

KERJA MEMBUAT FOOTING

Footing bahagian dalam rumah

Footing bahagian depan (garaj)

Gambar ini dirakam pada 18.9.2008, menunjukkan footing telah dibuat di tapak rumah tersebut.

18 September 2008

Rumah Baru Mula Dibina


Pada hari Rabu 17 September 2008 bersamaan 17 Ramadan 1429 H, sempena Nuzul al-Quran rumah saya mula dibina dengan proses membuat footing. Fungsi utama footing ialah sebagai foundation atau asas untuk menyokong bebanan rumah yang akan dibina nanti. Kalau kukuh asasnya, insya Allah akan kukuhlah rumah saya nanti dan selamat diduduki.

06 September 2008

Hari Jadi Ke-43

Kerja menanam cerucuk sedang giat dijalankan

Gambaran rumah yang bakal dibina


Pada 3 September 2008 yang lalu saya menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-43. Hari jadi tahun ini agak istimewa kerana ada beberapa peristiwa penting yang berlaku sebelum, semasa dan selepas seperti berikut;
Sebelum:
  1. Sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos.
  2. Mula berpuasa dan cuti am pada 1 September.
  3. Sekolah cuti berganti pada 2 September.
Semasa:
  1. Kerja menanam cerucuk untuk membina rumah saya telah dimulakan pada hari jadi saya.
  2. Menerima bonus hari jadi daripada Digi sebanyak RM105 berupa kredit masa bual yang sah digunakan hingga hari jadi saya pada tahun 2009.
Selepas:
  1. Pada 4 September saya menerima hadiah antologi cerpen daripada sahabat lama saya sejak di Universiti Malaya, iaitu Saudara Mohd Azli Lee bin Abdullah, iaitu antologi cerpen beliau yang pertama yang diterbitkan oleh DBP.

03 September 2008

MAJLIS AQIQAH & SOLAT HAJAT


Pada 30 Ogos 2008 yang lalu Sekolah Tuanku Abdul Rahman telah menganjurkan Majlis Aqiqah, bacaan Yasin dan Solat Hajat untuk pelajar-pelajar tingkatan 3 dan 5 yang akan menduduki peperiksaan PMR dan SPM nanti. Saya sempat merakam gambar guru-guru & pekerja bergotong-royong memotong daging dan bawang serta kehadiran ibu bapa yang turut serta dalam majlis tersebut. Sesiapa yang ingin mendapatkan koleksi gambar tersebut dalam bentuk CD boleh hubungi saya di sekolah.

31 August 2008

PERKAMPUNGAN ILMU F5 STAR


Pada 26-28 Ogos 2008 yang lalu, saya sebagai Penyelaras Program Kecemerlangan Akademik STAR dengan kerjasama STAROBA Utara telah menganjurkan Program Perkampungan Ilmu bertempat di Anjung 5 Resort, Jitra Kedah. Antara pengisian program ini ialah ceramah motivasi oleh bekas pelajar STAR, bengkel teknik menjawab soalan Biologi dan Matematik Tambahan dan lawatan ke Loji Air yang diterajui oleh bekas pelajar STAR serta membeli belah di Padang Besar.
Sesiapa yang ingin mendapatkan koleksi gambar seperti di atas dalam CD (200 gambar) boleh hubungi saya. Bayaran perkhidmatan hanya RM3 sekeping CD.

BERCUTI DI KAMPUNG



Pada masa cuti sekolah yang lepas (22-24 Ogos) saya balik bercuti di kampung Anak Kurau, Batu Kurau. Kebetulan musim buah masih ada, dapatlah merasa buah durian, rambutan dan pulasan. Selain itu saya ambil peluang cuti ini untuk menziarahi Chei Seman di Kg. Bechah, Batu Kurau (gambar bawah). Seronok dapat jumpa ibu bapa, adik beradik dan saudara mara serta sahabat lama di kampung. Di samping dapat berbual mesra bercerita perkembangan semasa, dapat juga eratkan lagi silaturrahim dan mengukuhkan hubungan kekeluargaan. (Gambar atas: saya dan adik Pian (Cikgu Sofian) baru balik dari memetik buah pulasan di kebun berlatarkan sawah padi)

24 August 2008

Ziarah Makngah Minah




Pada 23 Ogos 2008, saya sempat meluangkan masa menziarahi Makngah Minah dan Pakngah Tasu di Kg. Repoh, Batu Kurau. Makngah Minah adalah ibu saudara saya iaitu kakak kepada emak saya. Gambar di sebelah dirakam ketika saya mengutip pucuk salang bersama makngah untuk dibuat ulam.







ZIARAH SEDAKA



Semalam saya mengambil kesempatan ketika bercuti di kampung, melawat SMK Dato' Kamaruddin, Batu Kurau. Di sekolah inilah dulu saya belajar dari tingkatan 1 (1978) hingga tingkatan 5 (1982).

Ketika mengatur langkah menjejaki tanah bertuah SEDAKA, satu persatu kenangan lama muncul semula macam tayangan slaid power point di skrin besar. Tengok padang yang luas itu teringat detik-detik mendebarkan ketika saya jadi penjaga gol dalam perlawanan akhir bola sepak antara rumah. Di belakang gol di hujung padang itu pula tempat saya belajar tanam kacang bendi dan petola bagi pelajaran Sains Pertanian. Tengok tapak perhimpunan teringat pula masa kena sebat dengan pengetua kerana tak bawa buku akaun biasiswa. Bila pergi belakang kantin pula, rupanya ada lagi sangkar burung besar yang tak ada burung tu. Banyak juga perubahan yang berlaku di sekolah ini. Bangunan baru dah bertambah. Lanskap antara pejabat dan tandas tu cantik tapi tak tau kenapa kolamnya tak berair.

Kalau berpeluang ingin saya kembali ke sekolah ini sebagai guru pula, sebagai membalas jasa kerana pendidikan yang saya peroleh di sinilah menjadi asas penting hingga saya berjaya hingga ke menara gading dan berjaya sebagai pendidik.
Terima kasih kepada guru-guru saya dulu, antaranya yang saya ingat: Cikgu Mat Dan (Matematik), Cikgu Goh (Bahasa Inggeris), Cikgu Lee & Cikgu Lim (Sains Pertanian), Cikgu Shaharuddin (Lukisan), Cikgu Nuruddin (PJ), En Mahendran (Sejarah), Pengetua Tn Hj Shamsuddin, PK En Mohammad Jamal dan lain-lain lagi. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih.

22 August 2008

KURSUS PENOLONG KANAN

Pada masa cuti ini saya berpeluang mengikuti Kursus Pemantapan Kepimpinan Instruksional Penolong-Penolong Kanan (Pentadbiran) Sekolah-Sekolah Menengah Negeri Perak 2008 pada 19-21 Ogos 2008 bertempat di Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Utara. Walaupun saya belum menjadi Penolong Kanan lagi, tetapi peluang berharga ini diberi oleh Pengetua untuk menggantikan Cikgu Zulkarnain (PK) yang tidak dapat menghadiri kursus ini. Saya amat bersyukur kerana dapat mengisi maca cuti ini dengan menghadiri majlis ilmu yang amat berguna. Mana tahu suatu hari nanti kalau saya ditawarkan jawatan sebagai Penolong Kanan, sekurang-kurangnya tahu juga saya apa tugas dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.
Antara pengisian kursus tersebut adalah seperti berikut;
1. Konsep kepimpinan instruksional
2. Perancangan strategik dalam organisasi pendidikan
3. Pengajaran dan pembelajaran cemerlang
4. Pemantauan dan penyeliaan instruksional
5. Pengurusan kurikulum dan mesyuarat jawatankuasa kurikulum
6. Head Count
7. Post-mortem
Selain itu dapat juga saya berjumpa dengan sahabat-sahabat lama dan baru dalam kalangan Penolong Kanan yang turut serta dalam kursus ini.

12 August 2008

Sumber Rujukan Kerja Kursus Geografi

Laman Web:
1. Laman web sekolah : http://www.staripoh.com/portal/downloads.php?cat_id=11
2. Laman blog Cikgu Zabidi: http://cikguzabidi.blogspot.com/
3. World Atlas-MSN Encarta: http://encarta.msn.com/encnet/features/mapcenter/map.aspx
4. Carian Ebook Contoh Kajian: http://www.scribd.com/


Buku Teks:
1. Buku teks tingkatan 1:
Chong Yoon Choi, Chong Hui Ling, Kang Chai Yoeng, 2002, Buku Teks Geografi Tingkatan 1, Petaling Jaya, Media Network Sdn. Bhd.
2. Buku teks tingkatan 2:
Abdul Aziz bin Abdul Rahman, Lim Jin Choon dan Ratnam Karuppiah Servai, 2003, Buku
Teks Geografi Tingkatan 2
, Kuala Lumpur, Percetakan Rina Sdn. Bhd.
3. Buku teks tingkatan 3:
Khaw Ah Seng, Habibah Hj Lateh, Tan Koh Lim, 2004, Buku Teks Geografi Tingkatan 3, Ipoh, PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.



Kerja kursus yang telah dihasilkan oleh pelajar tahun-tahun lepas boleh dirujuk di Bilik APD, Pusat Sumber Bestari, STAR.

11 August 2008

Kerja Kursus Geografi Tingkatan 1

Pelajar-pelajar tingkatan 1 dikehendaki menjalankan satu kajian geografi tempatan sebagai sebahagian daripada keperluan sukatan pelajaran Geografi yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Bidang kajian yang ditetapkan untuk tahun ini adalah seperti berikut;

Tema: Bentuk Muka Bumi

Tajuk:
Potensi pelbagai bentuk muka bumi di ………………….. (tulis kawasan kajian anda) dan perbandingan dengan …………………. (tulis negara yang dibandingkan).

Contoh menulis tajuk:
Potensi pelbagai bentuk muka bumi di Kg. Anak Kurau, Batu Kurau, Perak dan perbandingan dengan Pulau Jawa, Indonesia.

Kandungan laporan kerja kursus ini terdiri daripada perkara-perkara berikut;

1. Kulit luar (gunakan format kulit yang saya sediakan)
2. Tajuk
3. Senarai kandungan
4. Penghargaan
5. Pendahuluan
6. Objektif
7. Kawasan kajian: (a) Huraian kawasan kajian (b) peta daerah (c) peta kawasan kajian yang dilukis (c) peta negara yang dibandingkan
8. Kaedah kajian
9. Dapatan kajian:
9 (a) Jenis-jenis bentuk muka bumi
9 (b) Kegiatan ekonomi utama di kawasan kajian
9 (c) Potensi bentuk muka bumi di kawasan kajian dan perbandingan dengan negara lain
9 (d) Kesan kegiatan manusia terhadap alam sekitar di kawasan kajian
9 (e) Langkah-langkah mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar
9 (f) Bahan grafik: (i) jadual jenis pekerjaan penduduk (ii) graf jenis pekerjaan penduduk (iii) peta minda kesan kegiatan manusia terhadap alam sekitar
10. Rumusan
11. Lampiran
12. Rujukan: (a) buku (b) responden / orang sumber (c) laman web

Kalau ada apa-apa pertanyaan atau perlukan penjelasan, sila tulis dalam ulasan di bawah.

09 August 2008

Salam Perkenalan

Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan izin-Nya jua saya mendapat ilham dan kemahiran untuk menghasilkan blog ini. Niat utama blog ini dihasilkan ialah untuk membuka ruang interaksi dengan pelajar saya di STAR dan bekas pelajar saya di tempat lain serta sesiapa sahaja yang berminat. Melalui blog ini saya harap dapat berkongsi maklumat berkaitan bidang tugas saya sebagai Guru Geografi, nasihat, motivasi, perkembangan diri dan sebagainya.
Semoga ruang yang disediakan ini dapat memberi manfaat kepada diri saya sendiri, ahli keluarga, rakan-rakan, anak didik dan setiap insan yang berkesempatan menelusuri blog ini.