Sejarah perkhidmatan saya di STAR bermula pada bulan Januari tahun
2000. Saya telah menerima panggilan telefon daripada Encik Mohmad Guffri, Penolong Kanan STAR ketika itu. Beliau
bertanya sama ada saya berminat untuk mengajar di STAR. Pada masa itu saya dalam perjalanan pulang ke
Ipoh selepas mesyuarat di Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK), Kuala Lumpur. Tanpa ragu-ragu saya katakan saya sangat
berminat dan menaruh harapan yang tinggi untuk bertukar ke STAR.
Sepanjang perjalanan itu saya berfikir bagaimanakah agaknya bila
berhadapan dengan pelajar-pelajar cemerlang.
Mampukah saya mengajar dengan baik dan berkesan. Bolehkah saya jawab soalan-soalan yang
mencabar daripada pelajar-pelajar pintar itu nanti. Sedikit sebanyak gambaran itu menimbulkan
rasa gementar di hati.
Saya melaporkan diri untuk bertugas di STAR mulai 16 Mac 2000. Masih tergniang-ngiang nasihat Tuan Haji
Ngazizan Haji Din, Pengetua STAR ketika itu supaya saya menjadi guru yang
cemerlang, mendidik anak bangsa dengan tulus, ikhlas dan dedikasi serta tidak
terpengaruh dengan sesuatu yang boleh mengurangkan kualiti perkhidmatan saya di
STAR. Mulai saat itu saya berazam untuk menjadi guru yang cemerlang di STAR
kerana di sini saya berpeluang mendidik anak bangsa sendiri menjadi insan
cemerlang yang bakal merealisasikan Wawasan 2020.
Pengacara Pertandingan Wind Orchestra SBP
Berdasarkan opsyen dan pengalaman mengajar, saya diminta mengajar
Bahasa Melayu menengah rendah dan menengah atas. Sebagai guru Bahasa Melayu saya banyak diberi
tugas sebagai pengacara majlis. Antara
majlis besar yang saya kendalikan ialah majlis ‘Malam Jasamu Dikenang’ di City
Bayview, Pulau Pinang pada 1 Julai 2000 yang dihadiri oleh Allahyarham Tun
Hamdan Sheikh Tahir. Selain itu saya juga menjadi juru acara Karnival Sains
peringkat negeri Perak di SM Teknik Ipoh dan Pertandingan Wind Orkestra SBP di
Dewan Banquet, Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Hubungan rapat dengan pelajar yang bernama Hafiz Hisan telah membuka
jalan untuk memeriahkan kampus STAR dengan pebagai kegiatan sastera. Dengan matlamat untuk melahirkan ‘Sasterawan
Sains’ kami mempelopori aktiviti lepak puisi pada setiap malam minggu di
gelanggang sepak takraw. Tanpa diduga lepak
puisi menerima sambutan hangat daripada pelajar walaupun mereka semua dari
aliran sains. Daripada aktiviti
deklamasi sajak pada malam-malam lepak puisi, saya bimbing mereka menghasilkan
puisi sendiri. Hasil karya pelajar
tersebut saya terbitkan sebuah buku antologi sajak Lepak Puisi pada tahun
2002.
Selain itu saya juga anjurkan sayembara deklamasi puisi patriotisme
sempena sambutan bulan kemerdekaan, aktiviti perbahasan, pidato dan berbalas
pantun. Saya juga turut menyumbang
artikel, laporan dan berita yang disiarkan dalam buletin STAROBA dan majalah
sekolah.
Pada
peringkat awal di STAR, saya lebih banyak mengisi masa lapang di Makmal Sains
Tingkatan 3 untuk bergaul dan berbual dengan staf-staf sokongan di situ seperti
Anwar, Dawam, Ridyan, Zolkaply, Redzuran dan lain-lain lagi. Saya tidak kekok bergaul dengan mereka,
bahkan pergaulan dengan mereka banyak memberi manfaat kepada diri dan kerjaya
saya. Walaupun di sekolah mereka berjawatan rendah tetapi di luar mereka
bergiat aktif dalam pelbagai organisasi dan mempunyai kepakaran tertentu.
Misalnya Encik Dawam aktif dalam kegiatan kebudayaan dan mempunyai hubungan
rapat dengan aktivis budaya dan sastera di Taman Budaya dan Badan Budaya Perak.
Dengan bantuan beliau saya dapat
menjalin kerjasama dengan Taman Budaya dan Badan Budaya Perak untuk menjayakan
aktiviti bahasa dan sastera. Antara aktiviti yang pernah saya jalankan ialah bengkel
asas lakonan kepada pelajar baru tingkatan 1 dengan kerjasama Badan Budaya
Perak, membawa pelajar menyertai sayembara puisi di Taman Budaya Perak, mengadakan
kursus penulisan dan deklamasi sajak dengan kerjasama aktivis sastera, menghadiri
kursus lakonan teater kreasi baru anjuran Akademi Seni Kebangsaan dan mengadakan
kelas drama dan teater di STAR dengan kerjasama Taman Budaya Perak.
Melalui pergaulan dengan Ridyan pula saya berpeluang membuat
eksperimen mengawet burung dan mengeram telur puyuh dengan menggunakan
inkubator yang ada di makmal. Burung
yang saya awet masih ada di makmal sampai sekarang. Telur puyuh yang saya eram juga berjaya
menetas dan saya bela di rumah hingga bertelur semula dan membiak. Ridyan juga
telah membantu saya mendapatkan borang permohonan tanah tapak rumah dan beliau
tolong hantarkan borang permohonan tanah itu ke pejabat PKNP. Rumah yang saya diami sekarang didirikan atas
tanah yang saya perolehi hasil bantuan beliau.
Burung yang saya awet di Makmal Sains Tingkatan
3
Sebagai
rumusan, pada peringkat awal perkhidmatan di STAR saya banyak belajar perkara
baru dan meluaskan pergaulan di dalam dan di luar sekolah. Penglibatan aktif dalam pelbagai aktiviti di
dalam dan di luar sekolah memang membuatkan saya sentiasa sibuk dan penat
tetapi saya hadapinya dengan berfikiran positif. Sebagai guru kita perlu amalkan konsep
pembelajaran sepanjang hayat. Pengalaman
dan kemahiran yang diperoleh daripada pelbagai tugasan dan daripada penglibatan
dalam perbagai aktiviti bahasa dan sastera itu amat bermanfaat dan tidak
ternilai harganya. Sesungguhnya ia dapat memperkaya pengalaman dan memberi
nilai tambah dalam melaksanakan tugas sebagai pendidik. Akhirnya saya turut dikenali
sebagai aktivis bahasa dan sastera dalam kalangan pelajar dan guru-guru di
sekolah, serta aktivis bahasa dan budaya di luar sekolah pada masa itu.