27 March 2009

MERIAHNYA KENDURI DI KAMPUNG


Sempena cuti sekolah minggu lalu saya balik ke kampong Anak Kurau untuk menziarahi ibu bapa dan ahli keluarga. Saya dijemput makan kenduri di rumah Awang Keria (anak arwah Imam Yahya) di Anak Kurau dan Paklong Suboh di Bendang Nering.
Alhamdulillah di samping dapat menikmati keenakan daging kerbau dan nasi minyak yang dihidangkan, yang penting sekali dapat bertemu kembali dengan sanak saudara dan sahabat handai yang telah sekian lama terpisah. Terutama sekali rakan sekelas dari darjah satu di SK Anak Kurau, dua pupu saya Hadri Yusof, Mat Asin, Mat Piah dan Razak (Jak) di Bendang Nering. Saya juga dapat menyaksikan seorang lagi rakan sekelas dulu, Saadon (Cakdon) bersilat. Gaya dia bersilat mengingatkan saya kepada arwah Tok Adam bersilat dulu.
Sesungguhnya majlis kenduri di kampung memang meriah. Sanak saudara dan jiran tetangga datang beramai-ramai bergotong royong membuat persediaan sebelum kenduri, masak-memasak, menghidang, membasuh dan sebagainya. Malah YB Adun Batu Kurau turut menyiang ikan dan potong bawang bersama-sama.
Syukurlah kerana masyarakat di kampung saya masih bersatu padu, bekerjasama dan hubungan antara satu sama lain masih erat tanpa mengira fahaman politik. Diharap kemeriahan, kerjasama dan perpaduan seperti yang ditunjukkan semasa diadakan majlis kenduri seperti ini dapat diteruskan selama-lamanya. Lebih baik lagi jika para pemimpin dan masyarakat di kampung dapat menggembleng tenaga untuk memajukan lagi kampung kita seperti menaik taraf infrastruktur, kegiatan ekonomi, pendidikan, sukan dan sebagainya.

18 March 2009

CERMIN PINTU DAN TINGKAP


Hari ini, 18.3.2009 rumah saya sudah siap dipasang cermin pintu dan tingkap. Bahagian yang mengadap jalan saya gunakan reflected glass manakala bahagian belakang dan dapur hanya gunakan tinted glass warna hitam untuk jimatkan kos. Tapi bila tengok yang reflected glass tu begitu cantik rasa menyesal pulak tak gunakan semua cermin jenis itu. Tak apalah, insya Allah kalau ada rezeki lebih tahun-tahun akan datang boleh la tukar yang tinted tu kepada reflected glass pulak.
Di samping itu kerja memasang pendawaian elektrik juga sudah dimulakan hari ini. Kerja pendawaian elektrik ini dijangka akan siap minggu ini juga. Syukurlah kerana rumah baru saya sudah hampir siap sepenuhnya.

11 March 2009

KENDURI


Alhamdulillah, kenduri kahwin adik saya Cikgu Sofian dapat dilaksanakan dengan baik dan lancar. Saya bagi pihak keluarga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada sanak saudara, sahabat handai dan jiran tetangga yang bergotong royong, berganding bahu membuat persediaan, memasak, menghidang dan membersih sama ada sebelum, semasa atau pun selepas kenduri. Hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalas budi baik kalian.
Antara acara menarik pada hari tersebut ialah, majlis Berzanji, Marhaban & naik buai Zulaikha, anak adik bongsu saya Hidayah; majlis perarakan pengantin dan bersanding; acara memotong kek; sesi fotografi dan diakhiri dengan ceramah Maulidur Rasul yang disampaikan oleh adik saya Ustaz Sabri pada sebelah malamnya di Sekolah Agama Rakyat.
Semoga majlis ini meninggalkan kenangan indah dan bermakna kepada kedua-dua mempelai dan juga kepada para tetamu yang hadir. Andai kata ada apa-apa kekurangan dan kelemahan semasa majlis ini berlangsung, saya bagi pihak keluarga memohon ampun dan maaf.

PAGAR, PINTU & CAT


Minggu ini pagar sudah siap. Pintu bilik sudah dipasang. Bilik juga sudah dicat. Dijangka kerja mengecat dapat diselesaikan minggu ini.

07 March 2009

PERSANDINGAN PIAN



Majlis persandingan Sofian & Adilah telah dilangsungkan di rumah pengantin perempuan di Kampong Paya, Batu Kurau sekitar jam 12.30 th tadi. Persandingan mereka disaksikan ahli keluarga kedua-dua belah pihak, sahabat handai dan para tetamu. Selamat pengantin baru diucapkan kepada kedua-dua mempelai. Didoakan semoga berbahagia hingga ke anak cucu.

06 March 2009

AKAD NIKAH PIAN


Hari ini 6.3.2009 rasmilah sudah ikatan perkahwinan adik saya Mohd Sofian dengan Adilah. Majlis akad nikah telah disempurnakan pada jam 5.30 ptg di Masjid Al-Kurauwi, pekan Batu Kurau oleh Naib Kadhi Haji Abdul Wahab dengan disaksikan oleh ahli keluarga kedua-dua belah pihak. Esok akan diadakan kenduri dan majlis persandingan di rumah pengantin perempuan.

05 March 2009

CAT LUAR SIAP DAH


Hari ini kerja mengecat bahagian luar rumah sudah siap. Bahagian dalam baru siap sapu sealer. Insya Allah minggu depan dapat disiapkan semuanya.

02 March 2009

RUMAH MULA DICAT


Minggu ini kerja pembinaan rumah saya berfokus kepada proses mengecat. Proses ini dijangka mengambil masa selama seminggu untuk disiapkan. Kerja pemasangan tiles yang dijalankan pada minggu lalu belum siap sepenuhnya, tetapi sudah sampai ke peringkat akhir.