24 May 2009

CORETAN MINGGU INI

24.5.2009
Menghadiri kursus haji mingguan di Masjid An-Nur, Batu 8, Ulu Kinta di bawah bimbingan Ustaz Bahari Yeop.

23.5.2009
Pergi ke Pejabat Tabung Haji Taiping bersama ibu dan ayah untuk tangkap gambar yang akan digunakan untuk urusan haji. Sempat juga mengikuti kursus haji yang disampaikan oleh sahabat lama saya, Tuan Haji Ahmad Tazli, di Masjid Batu Kurau. Pada 11.6.2009 nanti akan ke Klinik Kesihatan Batu Kurau untuk pemeriksaan kesihatan.
Walaupun belum mendapat surat tawaran untuk menunaikan fardu haji tahun ini, tetapi surat panggilan untuk ambil gambar dan pemeriksaan kesihatan ini memberi harapan bahawa peluang untuk terpilih itu ada. Insya Allah, kalau diizinkan-Nya sampailah hendaknya hajat saya ini sementara masih ada upaya.

22.5.2009

Mewakili Pengetua STAR ke majlis Sambutan Perayaan Hari Guru peringkat Daerah Kinta Utara di Silveritage Medan Gopeng, Ipoh. Dua kali saya naik ke pentas untuk menerima Anugerah Pencapaian Terbaik Peperiksaan Awam (PMR) dan Anugerah Pencapaian Terbaik Peperiksaan Awam (SPM) bagi pihak STAR. Kedua-dua anugerah dalam bentuk plak dan Sijil Penghargaan itu disampaikan oleh Tn. Hj. Muhamat Roli Bin Hassan, Timbalan Pengarah Pelajaran Perak.

Kebetulan saya duduk di sebelah Tn Hj Jamaluddin, mantan Pengetua STAR yang kini menjadi Pengetua SMK Raja Permaisuri Bainun. Banyak isu yang dibincangkan termasuk pengalaman beliau di STAR dan perbandingan dengan pengalaman di sekolah beliau sekarang. Terima kasih Tn Haji Jamaludin kerana banyak berkongsi pengalaman dan memberi tunjuk ajar kepada saya selama ini terutamanya berkaitan pengurusan dan kepimpinan sekolah.

Di samping itu dapat juga berkenalan dengan sahabat baru (gambar di atas), iaitu Ustaz Badrul Azam dari SK Jelapang yang menerima Anugerah Khas HEM. Walaupun beliau baru berkhidmat 5 tahun sebagai guru tetapi telah menunjukkan prestasi yang cemerlang hingga melayakkan beliau menerima anugerah tersebut.


21.5.2009:
Hantar kereta ke Pusat Servis EON di Jalan Kuala Kangsar untuk membaiki kerosakan bumper akibat kemalangan pada 7 Mei lalu. Nampak kerosakannya sikit saja, terkejut tengok sebut harga yang dituntut oleh pusat servis tersebut daripada pihak insuran sebanyak RM4300.

19.5.2009:
Menghadiri Program Peningkatan Profesionalisme Guru Kanan Kemanusiaan di Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Utara. Program tersebut diisi dengan ceramah yang bertajuk 'Prinsip Pengurusan dan Kepimpinan' yang disampaikan oleh En. Said bin Manap, Pegawai Pelajaran Daerah Kinta Utara.

Di samping meningkatkan pengetahuan berkaitan ilmu pengurusan dan kepimpinan, program ini juga menjadi medan pertemuan semula dengan kawan-kawan lama yang telah bertukar dan berkenalan dengan rakan sejawatan dari sekolah-sekolah lain.

18 May 2009

RANGKUMAN BERITA

18.5.2009: Sambutan hari guru peringkat sekolah diadakan pada hari ini. Tidak seperti tahun-tahun yang lepas, kali ini saya hanya menjadi penonton sahaja bagi semua acara yang dipertandingkan kerana mengikut nasihat doktor supaya banyak berehat. Hari ini juga meter elektrik rumah baru dipasang oleh pihak TNB.
14.5.2009: Menyertai pertandingan badminton sempena sambutan hari guru di Dewan Badminton DBI, Ipoh. Tapi tewas pusingan awal. Apa nak buat keadaan kesihatan tak mengizinkan saya bermain pada tahap terbaik.
7.5.2009: Terlibat dalam kemalangan kecil apabila kereta saya dirempuh dari belakang dalam perjalanan ke sekolah apabila terperangkap dalam kesesakan akibat kesibukan pihak polis bergegas ke bangunan Perak Darul Ridzuan sempena persidangan DUN Perak yang paling kecoh itu.

4.5.2009: Jalani pemeriksaan jantung di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur. Keadaan mitral valve saya masih sempit (1.3 cm berbanding yang normal 3 hingga 5 cm) tetapi tak perlu pembedahan lagi. Kalau bukaan injap tu di bawah 1 cm kena la ganti injap baru. Kalau blog ni tak update dalam tempoh yang lama, cuba-cuba la bertanya khabar. Mungkin saya dah pergi dulu. Jadi saya ambil kesempatan ini memohon ampun dan maaf jika ada apa-apa kesalahan atau kesilapan. Mana-mana yang termakan atau terminum itu harap dapat dihalalkan. Kalau saya ada terhutang atau terambil apa-apa boleh la tuntut cepat-cepat.

2.5.2009: Menghadiri kenduri kahwin Ros Idayu & Zulharman di rumah Abang Ca (Mohd Isa bin Daud) di Kg. Anak Kurau. Alhamdulillah pada majlis tersebut dapat jumpa kawan masa bersekolah di Sekolah Dato' Kamaruddin dulu, iaitu Azahari Zaman (Jaha) dari Kg. Sempeneh, Batu Kurau . Beliau kini berkhidmad di Jabatan Penjara, Langkawi. Sayangnya tak sempat bergambar dengan dia.

24.4.2009: Menyampaikan ceramah Geografi kepada pelajar STAR bersama Cikgu Azli.

22.4.2009: Pintu bilik air rumah baru sudah siap dipasang

14.4.2009: Hantar surat rayuan untuk menunaikan fardu haji tahun ini bersama ibu dan ayah, di pejabat Tabung Haji Taiping. Alhamdulillah dapat jumpa sahabat lama semasa saya bertugas di SMKA Slim River dulu. Kini beliau menjadi Pengurus di pejabat tersebut.

01 May 2009

MAKLUMAT TAMBAHAN KERJA KURSUS

Pengumuman ini ditujukan kepada pelajar-pelajar saya. Maklumat tambahan kerja kursus sudah saya upload ke laman web sekolah. Klik pada menu 'Downloads' di sebelah kiri laman web tersebut untuk dapatkan maklumat berkenaan.