24 May 2009

CORETAN MINGGU INI

24.5.2009
Menghadiri kursus haji mingguan di Masjid An-Nur, Batu 8, Ulu Kinta di bawah bimbingan Ustaz Bahari Yeop.

23.5.2009
Pergi ke Pejabat Tabung Haji Taiping bersama ibu dan ayah untuk tangkap gambar yang akan digunakan untuk urusan haji. Sempat juga mengikuti kursus haji yang disampaikan oleh sahabat lama saya, Tuan Haji Ahmad Tazli, di Masjid Batu Kurau. Pada 11.6.2009 nanti akan ke Klinik Kesihatan Batu Kurau untuk pemeriksaan kesihatan.
Walaupun belum mendapat surat tawaran untuk menunaikan fardu haji tahun ini, tetapi surat panggilan untuk ambil gambar dan pemeriksaan kesihatan ini memberi harapan bahawa peluang untuk terpilih itu ada. Insya Allah, kalau diizinkan-Nya sampailah hendaknya hajat saya ini sementara masih ada upaya.

22.5.2009

Mewakili Pengetua STAR ke majlis Sambutan Perayaan Hari Guru peringkat Daerah Kinta Utara di Silveritage Medan Gopeng, Ipoh. Dua kali saya naik ke pentas untuk menerima Anugerah Pencapaian Terbaik Peperiksaan Awam (PMR) dan Anugerah Pencapaian Terbaik Peperiksaan Awam (SPM) bagi pihak STAR. Kedua-dua anugerah dalam bentuk plak dan Sijil Penghargaan itu disampaikan oleh Tn. Hj. Muhamat Roli Bin Hassan, Timbalan Pengarah Pelajaran Perak.

Kebetulan saya duduk di sebelah Tn Hj Jamaluddin, mantan Pengetua STAR yang kini menjadi Pengetua SMK Raja Permaisuri Bainun. Banyak isu yang dibincangkan termasuk pengalaman beliau di STAR dan perbandingan dengan pengalaman di sekolah beliau sekarang. Terima kasih Tn Haji Jamaludin kerana banyak berkongsi pengalaman dan memberi tunjuk ajar kepada saya selama ini terutamanya berkaitan pengurusan dan kepimpinan sekolah.

Di samping itu dapat juga berkenalan dengan sahabat baru (gambar di atas), iaitu Ustaz Badrul Azam dari SK Jelapang yang menerima Anugerah Khas HEM. Walaupun beliau baru berkhidmat 5 tahun sebagai guru tetapi telah menunjukkan prestasi yang cemerlang hingga melayakkan beliau menerima anugerah tersebut.


21.5.2009:
Hantar kereta ke Pusat Servis EON di Jalan Kuala Kangsar untuk membaiki kerosakan bumper akibat kemalangan pada 7 Mei lalu. Nampak kerosakannya sikit saja, terkejut tengok sebut harga yang dituntut oleh pusat servis tersebut daripada pihak insuran sebanyak RM4300.

19.5.2009:
Menghadiri Program Peningkatan Profesionalisme Guru Kanan Kemanusiaan di Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Utara. Program tersebut diisi dengan ceramah yang bertajuk 'Prinsip Pengurusan dan Kepimpinan' yang disampaikan oleh En. Said bin Manap, Pegawai Pelajaran Daerah Kinta Utara.

Di samping meningkatkan pengetahuan berkaitan ilmu pengurusan dan kepimpinan, program ini juga menjadi medan pertemuan semula dengan kawan-kawan lama yang telah bertukar dan berkenalan dengan rakan sejawatan dari sekolah-sekolah lain.

2 comments:

  1. Assalamu'alaikum Cikgu Zabidi.
    Tahniah atas penerimaan Anugerah Khas Akademik PMR dan SPM kepada STAR sempena Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Kinta Utara yang telah diterima oleh Cikgu Zabidi pada 22 Mei 2009 yang lalu di Silveritage.
    Saya Ustaz Badrul 'Azam Borhan dari SK Jelapang Ipoh juga menerima Anugerah Khas HEM pada hari tersebut. Bersamalah kita sebagai warga pendidik terus menggandakan usaha dan memikul amanah Allah ini bagi meningkatkan kualiti pendidikan agar anak bangsa Malaysia menjadi insan yang cemerlang dunia dan akhirat.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum , khusyuk sungguh saya membaca coretan tuan . Jika boleh , layarilah http://www.imranrajawali.blogspot.com/ yang baru dibina , terdapat isi isi kandungan mengenai dunia remaja yang saya sendiri tulis .

    ReplyDelete

Saya amat hargai kiranya saudara dan saudari sudi mencoretkan sedikit ulasan dan komen membina terhadap apa-apa isu yang saya kemukakan. Terima kasih.