09 June 2009

DETIK PERTEMUAN SEMULA

Dalam satu kuliah maghribnya, Ustaz Munawir menyatakan bahawa salah satu rahsia untuk panjang umur ialah dengan menghubungkan semula silaturrahim dengan saudara mara dan sahabat handai yang sudah lama terpisah, terutamanya perpisahan disebabkan konflik tertentu atau perselisihan faham atau sebab-sebab lain. Pendapat beliau itu ada benarnya apabila saya bandingkan dengan ibu dan ayah saya. Dalam usia 73 tahun ayah saya masih kelihatan cergas dan bertenaga lagi. Dari dulu lagi mereka cukup menjaga hubungan dengan sanak saudara dan jiran tetangga tak kira jauh atau dekat. Kalau ada kenduri kendara, kematian atau ditimpa musibah mereka akan berusaha selagi terdaya untuk ziarah dan bantu apa yang termampu. Alhamdulillah mereka dimurahkan rezeki, dipanjangkan usia dan hidup bahagia.
Ekoran daripada saranan Untaz Munawir dan teladan ibu bapa saya itu, saya berazam untuk cuba menjalin semula silaturrahim dengan sanak saudara dan sahabat handai yang sudah sekian lama terpisah. Alhamdulillah setakat ini saya dapat eratkan semula ikatan kekeluargaan dengan saudara mara dan berjumpa semula dengan beberapa orang kawan lama. Antaranya seperti yang dipaparkan di bawah. Mudah-mudahan pertemuan semula ini diredhai Allah dan membawa kebaikan kepada semua yang terlibat. Insya Allah.

6.6.2009: Jumpa Ahmad Ramli dan Yusri
Pada 6.6.2009 saya balik ke Kampong Anak Kurau untuk ziarah mak dan ayah. Di samping itu saya pergi ke rumah Ahmad Ramli di Kg. Relang yang mengadakan majlis kenduri perkahwinan adiknya. Beliau antara rakan sekelas semasa bersekolah di Sekolah Dato' Kamaruddin dahulu. Selepas 27 tahun berpisah mengikut haluan masing-masing, baru kini berjumpa semula. Beliau kini bertugas sebagai guru di SMK Seri Tangkak, Johor. Dalam pertemuan ini juga saya dapat tahun seorang rakan sekelas kami dulu, Cikgu Hamidah mengajar di SK Relang, sama dengan adik saya Cikgu Sofian.
Sebelum itu semasa makan kenduri di rumah Hj Yaakob, Simpang 4, Anak Kurau, saya jumpa Cikgu Yusri yang dikenali melalui laman forum Batu Kurau Kampongku. Sekali pandang saja dia dah cam dan tegur saya. Bila tengok sekali saya dah agak Cikgu Yusri, sebab selalu tengok gambarnya di laman forum tersebut.

4.6.2009: Pertemuan Dengan Hashim Mat Isa dan Rahman
Kesempatan bermesyuarat di Kuala Lumpur kali ini memberi peluang kepada saya berjumpa semula dengan rakan sekolah dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5 di Sekolah Dato' Kamaruddin, Batu Kurau, iaitu Saudara Hashim bin Mat Isa. Beliau kini bertugas di Ibu Pejabat Felcra, Kuala Lumpur. Selepas keluar sekolah pada tahun 1982 dahulu, inilah kali pertama kami bersua semula. Detik pertemuan ini dapat direalisasikan dengan bantuan Saudara Abdul Rahman Ahmat (Man_Ong) yang dikenali melalui laman Forum Batu Kurau Kampongku. Beliau bertugas di PDRM Bukit Aman. Terima kasih Hashim dan Man kerana sudi meluangkan masa bersama saya di Restoran Kampong Pandan tempoh hari.

2-5 Jun 2009: Mesyuarat dan Majlis Penyampaian Sijil Pengiktirafan Sekolah Kluster Kecemerlangan

Belum sempat hilang penat menguruskan Kelas Intensif Masa Cuti, terpaksa pula bergegas ke Hotel Federal Kuala Lumpur untuk menghadiri Mesyuarat dan Majlis Penyampaian Sijil Pengiktirafan Sekolah Kluster Kecemerlangan. Saya diberi kepercayaan dan penghormatan untuk mewakili Pengetua STAR ke mesyuarat dan majlis tersebut selama 4 hari 3 malam. Sesungguhya saya rasa cukup bertuah dan bersyukur kerana mendapat maklumat lengkap berkaitan sekolah kluster dari sumber pertama sendiri (KPPM, Timbalan KPPM, Pengarah & Timbalan Pengarah BPSBPSK dll). Saya juga rasa bangga kerana berpeluang bermesyuarat dan berkenal-kenalan bersama-sama Pengetua dan Penolong Kanan Sekolah Kluster dari seluruh negara. Salah seorang daripadanya rakan semasa sama-sama menuntut di Universiti Malaya dan tinggal di Kolej Keempat pada tahun 1985-88, iaitu Pn. Zahrah bt Abdul Hamid, PK Kokurikulum SMKA Al Irshad, Pulau Pinang. Inilah kali pertama dapat merasa tinggal sebilik seorang setelah menjadi Guru Cemerlang DG48.

29 Mei - 1 Jun 2009: Kelas Intensif Masa Cuti PMR & SPM
Seperti tahun-tahun yang lepas, cuti pertengahan tahun kali ini juga saya dipertanggungjawabkan untuk menguruskan program Kelas Intensif Masa Cuti untuk calon-calon PMR dan SPM di bawah Program Kecemerlangan Akademik STAR. Mulai 29 Mei hingga 1 Jun terpaksalah berulang alik ke sekolah untuk memastikan program berjalan lancar mengikut jadual dan memastikan setiap pelajar dapat makan pada waktu rehat. Saya sendiri mengadakan kelas intensif bagi mata pelajaran Geografi pada hari terakhir dari jam 8.00 pagi hingga jam 12.30 tengah hari untuk menghabiskan 4 bab. Walaupun agak penat tetapi yang penting saya dapat memberikan sedikit sumbangan tenaga dan fikiran untuk membantu pelajar mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Cuma agak terkilan dengan segelintir pelajar yang seolah-olah tidak menghargai penat lelah cikgu yang berusaha gigih membantu mereka, tetapi mereka sendiri tidak mahu dibantu.

29.5.2009: Ceramah Bahasa Melayu
Kali terakhir saya mengajar Bahasa Melayu ialah pada tahun 2003. Selepas itu saya hanya mengajar Geografi. Walau bagaimanapun, Panitia Bahasa Melayu memberi kepercayaan dan penghormatan kepada saya untuk memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada calon-calon SPM 2009 berdasarkan pengalaman dan pengetahuan yang saya ada. Kekok sedikit rasanya apabila bercakap isu-isu Bahasa Melayu kerana sudah lama tidak mengajar mata pelajaran berkenaan. Daripada maklum balas yang diterima, para pelajar berpuas hati dapat berkongsi maklumat penting dan pengalaman berharga sebagai persediaan untuk menjawab kertas soalan BM dalam peperiksaan SPM nanti. Kata orang tua-tua, tiada rotan akar pun berguna.

25.5.2009: Terima Surat Penempatan Guru Cemerlang DG48
Saya bersyukur ke hadrat Ilahi dan berterima kasih kepada Pengetua dan Penolong Kanan kerana hari ini saya telah menerima Surat Penempatan Guru Cemerlang (Geografi) memangku Gred DG48 (KUP) dan ditempatkan di sekolah yang sama. Alhamdulillah, cita-cita saya untuk menjawat jawatan baru ini tercapai juga. Insya Allah saya akan tingkatkan lagi usaha dan mencapai prestasi cemerlang sesuai dengan status Guru Cemerlang yang disandang.

5 comments:

  1. huhu kat star dah huru hara sekarang..bagai mana nak rapatkan kesatuan dan penyatuan kita semua??
    Semoga kita semua dilindungi Allah SWT.

    ReplyDelete
  2. anggaplah apa yang berlaku itu sebagai ketentuan Ilahi dan setiap ketentuan itu ada hikmahnya. sama-samalah kita berdoa agar perubahan yang berlaku ini membawa kebaikan kepada kita semua.

    ReplyDelete
  3. Bidi;
    Gembira sekali pakcik tengok muka kawan2 pakcik.

    Malang sekali aku tak dapat ikut Hashim & Man jumpa hang malam tu.
    Aku ni bukan la keja 9-5... Buleh kata setiap minggu ada hari yg aku x tidog sbb stayback buat keja.

    Masa Hashim & Man ajak aku mlm tu, aku dlm proses revive dari stayback... So sorry, Bidi...

    Apa2 pun aku doakan sejahtera utk hang... Salam.

    ReplyDelete
  4. kali terakhir cikgu mengajar BM tahun 2003. Saya form 5 tahun 2003. Muhd Fikri Naim Harun. Mungkin cikgu dah tak ingat. Saya ada menyumbang untuk buku koleksi lepak puisi. dan karangan saya di cetak dan di edar sebagai contoh karangan spm. saya juga blogger sekarang. baru berjinak2. kalau ada masa, cikgu bolehlah jenguk2 http://suaraanakmelayu.blogspot.com, http://elllevenathinktank.wordpress.com.

    ReplyDelete

Saya amat hargai kiranya saudara dan saudari sudi mencoretkan sedikit ulasan dan komen membina terhadap apa-apa isu yang saya kemukakan. Terima kasih.