29 December 2008

SELAMAT TAHUN BARU HIJRIAH 1430

Hari ini 1 Muharram 1430 (29.12.08), umat Islam meraikan kedatangan tahun baru dalam kalender Islam yang diambil sempena peristiwa Hijrah Rasulullah SAW dari Kota Mekah ke Kota Madinah.
Semalam 30 Zulhijjah 1429 (28.12.08) saya menghadiri majlis sambutan Di Ambang Maal Hijrah peringkat Negeri Perak yang diadakan di Masjid An-Nur, Batu 8, Ulu Kinta. Tetamu kehormat yang hadir dalam majlis tersebut ialah YAB Menteri Besar Perak.
Majlis bermula dengan Solat Asar, diikuti dengan tazkirah Maal Hijrah oleh Ustaz Tarmizi. Kira-kira jam 6.00 ptg YAB Menteri Besar tiba dan menyampaikan perutusan Maal Hijrah dengan penuh semangat dan diikuti majlis penyampaian hadiah.
Selepas itu diadakan majlis bacaan Yasin dan tahlil yang diketuai oleh Sheikh Mohd Nor Mansur Al Hafiz. Sebelum masuk waktu Maghrib, Imam Suhaimi membaca doa akhir tahun dan selepas azan maghrib beliau membaca doa awal tahun. Majlis diakhiri dengan Forum Perdana selepas solat Isyak. Ahli panelnya terdiri daripada Ustaz Ridzuan Tee Abdullah dan Ustaz Ismail Hashim.
Alhamdulillah, banyak pengetahuan dan pengajaran yang dapat ditimba daripada program yang saya hadiri ini untuk dijadikan renungan dan diamalkan dalam kehidupan seharian. Insya Allah saya akan buka lembaran baru hidup saya dengan berhijrah daripada apa-apa kekurangan, kelemahan dan kemungkaran kepada cara hidup Islam yang lebih sempurna. Mudah-mudahan mendapat keberkatan dan keredhaan Allah di dunia dan akhirat.

No comments:

Post a Comment

Saya amat hargai kiranya saudara dan saudari sudi mencoretkan sedikit ulasan dan komen membina terhadap apa-apa isu yang saya kemukakan. Terima kasih.