17 September 2009

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Assalamualaikum dan Salam Aidil Fitri kepada semua saudara mara, sahabat handai dan pengunjung blog saya ini.
Setelah sebulan menunaikan ibadah puasa, kini kita berada di ambang 1 Syawal. Sama-samalah kita meraikan Hari Raya Aidil Fitri ini dengan penuh rasa syukur kerana berjaya menyempurnakan tarbiah di madrasah Ramadan ini dengan jayanya dalam suasana yang aman damai.
Selama kita berkenalan, berkomunikasi dan berinteraksi; ada kalanya mata terlihat sesuatu yang mengaibkan, ada kalanya telinga terdengar sesuatu yang tidak menyenangkan, ada kalanya hati berbisik persepsi yang khilaf dan buruk sangka, ada kalanya minda terfikir sesuatu yang memudaratkan, ada kalanya mulut terucap kata-kata yang menyentuh perasaan dan ada kalanya tingkah laku dan tindakan menyalahi adat resam dan batasan. Oleh kerana itu, saya dengan penuh keinsafan dan rasa rendah diri ingin mengambil peluang di bulan Ramadan yang penuh barakah dan Syawal yang mulia ini mohon diampunkan segala dosa dan dimaafkan segala kesalahan, kesilapan dan kelemahan. Mudah-mudahan dengan bermaaf-maafan ini kita semua dapat hidup dalam suasana yang lebih harmoni dan memperoleh kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Bagi mengeratkan lagi silaturrahim sesama kita, silalah ziarah-menziarahi di hari raya nanti. Pada 1 Syawal saya dan keluarga akan berhari raya di rumah mertua di Taman Kota Tampan, Lenggong. Hari raya kedua bersama keluarga di Kg. Anak Kurau. Lepas itu boleh kunjungi rumah saya di Rancangan Perumahan Tersusun Ulu Kinta (RPT Tapisan Air). Mudah-mudahan melalui pertemuan itu nanti dapat menjalin tali ukhuwah sesama kita dan merapatkan hubungan yang berkekalan.
Akhir kata saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin.

1 comment:

  1. Selamat berhari raya bekas guru kananku..moga gumbira hendaknya di pagi mulia

    ReplyDelete

Saya amat hargai kiranya saudara dan saudari sudi mencoretkan sedikit ulasan dan komen membina terhadap apa-apa isu yang saya kemukakan. Terima kasih.