21 February 2010

REUNION PELAJAR SMKA SLIM RIVER




Alhamdulillah, dapat juga saya turut serta dalam Majlis Makan Malam Amal Alumni bersama-sama bekas pelajar dan guru SMKA Slim River pada hari Sabtu, 20 Februari 2010 jam 8.00 – 10.30 malam di Dewan Saidina Abu Bakar, SMKA Slim River. Dapatlah berjumpa semula dengan sahabat lama yang sama-sama bertugas membuka sekolah tersebut, iaitu Cikgu Zulkifli Awang bersama rakan-rakan guru dulu iaitu Cikgu Jasnani, Cikgu Rozita dan Cikgu Hendon. Turut hadir sama ialah Ustaz Wan Karim selaku Pengetua sekarang yang juga bekas Pensyarah saya di IPSI dulu dan Ustaz Sulaiman, bekas pelajar saya dulu yang kini menjadi guru di sekolah tersebut sekarang.
Ramai juga bekas pelajar saya sesi 1994-1998 dulu yang hadir, kebanyakannya sudah berumah tangga dan membawa bersama pasangan dan anak masing-masing. Sebahagian besarnya saya masih ingat rupa dan nama, tapi ada juga yang dah lupa. Maklumlah dah lama tak jumpa. Ada antaranya yang selalu jumpa dalam Facebook. Shukurlah kerana kemudahan ICT yang ada hari ini dapat merapatkan semula silaturrahim antara kita tanpa batasan dan sempadan. Saya turut berbangga dengan kejayaan mereka dalam pendidikan dan kerjaya. Dapat saya rumuskan bahawa matlamat penubuhan SMKA untuk melahirkan modal insan profesional islamik sudah berhasil. Tahniah semua!
Saya antara guru yang terawal bertugas di SMKA Slim River yang mula dibuka pada tahun 1993 bersama Pengetua pertama, Ustaz Ahmad bin Abd Hamid dan Penolong Kanan pertama Ustaz Ramli Hassan. Saya bertugas di sana sebagai guru Bahasa Melayu hingga tahun 1999. Antara jawatan yang disandang ialah Guru Kanan Kokurikulum, Guru Kanan Bahasa, Pengasas Kelab Tenis, Guru Koperasi, Guru ICT, Setiausaha PIBG dan lain-lain. Terlalu banyak pengalaman dan kenangan yang masih segar di ingatan.
Mudah-mudahan program seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dengan pelbagai aktiviti yang lebih menarik dan penyertaan yang lebih ramai lagi.

24 December 2009

TAHNIAH PELAJAR STAR: PMR CEMERLANG




Alhamdulillah, pencapaian pelajar STAR dalam PMR 2009 meningkat berbanding tahun lalu. Subjek Geografi yang saya ajar juga meningkat. Daripada 107 calon yang mengambil peperiksaan tersebut 85 orang (79.43%) mendapat 8A, 17 orang 7A (15.89%) dan 5 orang 6A (4.68%). Gred purata keseluruhan 1.03. Keputusan penuh pencapaian gred A mengikut mata pelajaran adalah seperti berikut:
Bahasa Melayu: 100%
Bahasa Inggeris: 95.3%
Matematik: 98.1%
Sains: 98.1%
Sejarah: 94.4%
Pendidikan Islam: 89.7%
Geografi: 99.1%
Kemahiran Hidup: 100%.

Tahniah kepada semua pelajar STAR. Terima kasih dan penghargaan kepada guru-guru, PIBG dan STAROBA serta semua pihak yang telah memberi sumbangan.

17 November 2009

GUNALAH MY GREEN OIL

Saya dah jadi reseller MyGreenOil selepas menguji sendiri keberkesanannya pada kereta Kancil dan Persona saya. Penggunaan MyGreenOil dapat meningkatkan power dan lebih jimat minyak di samping mengurangkan pencemaran alam sekitar. Maklumat lanjut tentang produk ni boleh baca dalam web site: http://www.mygreenoil.com/.
Harga adalah seperti berikut:
Untuk kereta: Sekotak (5 botol 60ml) = RM48.00
Untuk motor: Sekotak (12 sachet 3ml) = RM10.00

Cara nak order:
1. Bank in / transfer bayaran dalam akaun seperti di bawah:
Maybank: 508177704369
CIMB Bank: 08280000576050

2. Hantar bukti pembayaran, nama, alamat lengkap, nombor telefon dan kuantiti produk kepada saya melalui email: mdzabidi@yahoo.com atau sms: 016-5994872 atau 0194155695

3. Saya akan poskan produk berkenaan dalam masa seminggu.

Jika perlukan maklumat lanjut atau apa-apa pertanyaan boleh hubungi saya.

07 November 2009

ULANG TAHUN PERKAHWINAN

Semalam, Jumaat 6 November 2009 adalah hari ulang tahun perkahwinan saya yang ke-18 . Ulang tahun kali ini diraikan di Hotel Heritage, Ipoh.
Walaupun dalam tempoh 18 tahun hidup bersama berlaku sikit sebanyak perselisihan faham dan perang dingin tetapi alhamdulillah dapat ditangani sebaiknya. Seperti kata orang tua-tua, sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri. Buang yang keruh ambil yang jernih.
Mudah-mudahan kebahagiaan yang dikecapi selama ini berkekalan buat selama-lamanya.

02 October 2009

SUKA DAN DUKA DI HARI RAYA


Kita hanya merancang, Allah yang menentukan segalanya. Sambutan hari raya tahun ini berjalan seperti yang dirancang pada hari raya pertama. Semua ahli keluarga sebelah isteri saya berkumpul di Taman Kota Tampan kecuali adik yang berada di Sabah. Mereka dijadualkan pulang pada cuti akhir tahun sekolah nanti. Suasana cukup meriah dan ceria bermula daripada hari terakhir Ramadan, malam raya dan di pagi raya.
Bila tiba saat bersalaman dan mohon ampun maaf daripada mak dan abah tiada siapa dapat menahan deraian air mata. Tidak seperti tahun-tahun yang lalu, keadaan kesihatan abah kali ini ketara benar uzurnya. Hanya mampu terbaring lesu di katil dengan nafas tersekat-sekat abah gagahkan diri untuk bersalaman dan menerima ucapan selamat hari raya daripada semua anak cucu serta bermaaf-maafan. Abah masih ingat nama-nama anak cucunya dan masih dapat memberi kata-kata nasihat dengan suara yang lemah.

Pada hari raya kedua kami beraya di Kg Anak Kurau. Lebih kurang pukul 12.30 tengah hari kami menerima berita dari Lenggong mengatakan Abah sakit tenat. Kami pun berkemas untuk pulang semula ke Lenggong. Mak dan Ayah saya turut serta untuk menziarahinya. Dalam perjalanan ke Lenggong kami mendapat khabar Abah sudah menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.47 petang.
Bila kami sampai, sanak saudara dan jiran tetangga sudah ramai berkumpul. Persiapan sudah dibuat untuk mengebumikan jenazah abah pada petang itu juga. Sembahyang jenazah diadakan di surau Taman Kota Tampan selepas solat Maghrib. Kemudian jenazah arwah abah disemadikan di tanah perkuburan Sumpitan yang selesai sepenuhnya ketika azan Isya' berkumandang dari Masjid Sumpitan.
Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh dan beriman.

17 September 2009

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Assalamualaikum dan Salam Aidil Fitri kepada semua saudara mara, sahabat handai dan pengunjung blog saya ini.
Setelah sebulan menunaikan ibadah puasa, kini kita berada di ambang 1 Syawal. Sama-samalah kita meraikan Hari Raya Aidil Fitri ini dengan penuh rasa syukur kerana berjaya menyempurnakan tarbiah di madrasah Ramadan ini dengan jayanya dalam suasana yang aman damai.
Selama kita berkenalan, berkomunikasi dan berinteraksi; ada kalanya mata terlihat sesuatu yang mengaibkan, ada kalanya telinga terdengar sesuatu yang tidak menyenangkan, ada kalanya hati berbisik persepsi yang khilaf dan buruk sangka, ada kalanya minda terfikir sesuatu yang memudaratkan, ada kalanya mulut terucap kata-kata yang menyentuh perasaan dan ada kalanya tingkah laku dan tindakan menyalahi adat resam dan batasan. Oleh kerana itu, saya dengan penuh keinsafan dan rasa rendah diri ingin mengambil peluang di bulan Ramadan yang penuh barakah dan Syawal yang mulia ini mohon diampunkan segala dosa dan dimaafkan segala kesalahan, kesilapan dan kelemahan. Mudah-mudahan dengan bermaaf-maafan ini kita semua dapat hidup dalam suasana yang lebih harmoni dan memperoleh kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Bagi mengeratkan lagi silaturrahim sesama kita, silalah ziarah-menziarahi di hari raya nanti. Pada 1 Syawal saya dan keluarga akan berhari raya di rumah mertua di Taman Kota Tampan, Lenggong. Hari raya kedua bersama keluarga di Kg. Anak Kurau. Lepas itu boleh kunjungi rumah saya di Rancangan Perumahan Tersusun Ulu Kinta (RPT Tapisan Air). Mudah-mudahan melalui pertemuan itu nanti dapat menjalin tali ukhuwah sesama kita dan merapatkan hubungan yang berkekalan.
Akhir kata saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin.

04 September 2009

HARI JADIKU

Semalam genap usia saya 44 tahun. Saya telah dilahirkan pada hari Jumaat, 3 September 1965 bersamaan 8 Jamadilawal 1385H, jam 3.00 pagi di Kg. Anak Kurau, Batu Kurau, Perak.
Sebelum ini setiap kali menyambut hari lahir rasa seronok sebab diri makin dewasa dan kematangan makin meningkat. Tapi kini pemikiran saya mula berubah sedikit. Pertambahan setahun lagi usia juga bererti berkurang setahun lagi jangka hayat saya. Ditambah pula dengan pelbagai penyakit yang ditanggung. Rasanya makin singkat masa untuk sampai ke nohtah terakhir.
Sisa-sisa hidup yang masih ada ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk menyucikan hati dan rohani dari segala noda dan dosa serta meningkatkan amal ibadat sebagai bekalan ke sana nanti. Jadi sempena bulan Ramadan yang mulia ini, sementara kesempatan masih ada, saya ingin memohon ampun dan maaf andai kata ada dosa saya dengan sesiapa yang berkenaan. Halalkanlah makan minum yang saya terima. Andai kata saya ada terhutang apa-apa boleh la tuntut semula atau mohon dihalalkan. Kepada bekas pelajar saya yang pernah dimarah, dirotan atau tersalah ajar harap maafkan juga kelemahan dan kekurangan saya itu. Harapan saya semoga apabila dibicarakan di padang Mahsyar nanti terlepaslah kita dari azab api neraka yang tak tertanggung pedihnya itu.