02 September 2010

1993 – 1999: Meraih Kejayaan di SMKA Slim River



Sekolah ketiga saya ialah SMKA Slim River. Saya adalah antara peneroka pembukaan sekolah tersebut bersama Tuan Haji Ahmad bin Abdul Hamid dan Ustaz Ramli bin Hassan. Tugas kami pada peringkat awal bukanlah mengajar kerana pelajar belum masuk lagi pada masa itu. Setiap hari kami bergotong royong mengangkat dan menyusun perabut di bilik darjah dan asrama sebagai persediaan untuk menerima kehadiran pelajar kumpulan pertama.
Guru perempuan juga turut sama bekerja mengangkat barang di samping menyediakan makan minum. Pelajar tingkatan 1 batch pertama seramai 129 orang mula melaporkan pada 20 Jun 1993 manakala pelajar tingkatan 4 seramai 167 orang melaporkan diri pada 4 Julai 1993. Sebagai sekolah yang baru dibuka mereka terpaksa belajar dalam keadaan serba kekurangan dan persekitaran sekolah yang belum ceria.
Saya telah diberi kepercayaan untuk menjalankan tugas sebagai Guru Kanan Kokurikulum ketika itu. Oleh kerana di SMKA Slim River ada gelanggang tenis, saya telah mencadangkan kepada PPD untuk memasukkan permainan tenis dalam pertandingan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah Batang Padang dan cadangan saya diterima. Sejak itu SMKA Slim River menjadi tuan rumah pertandingan tenis peringkat daerah dan saban tahun saya membawa pelajar saya mewakili Daerah Batang Padang ke pertandingan peringkat negeri. Saya mendapatkan kerjasama pelajar IPSI untuk melatih pelajar saya dan mengelola pertandingan tenis di sekolah.
Jawatan lain yang disandang ketika bertugas di SMKA Slim River ialah Ketua Panitia Bahasa Melayu, Ketua Bidang Bahasa, Guru Koperasi, Setiausaha PIBG dan lain-lain lagi. Antara pengalaman menarik yang dilalui ialah menjadi Setiausaha Jawatankuasa Majlis Perasmian Sekolah yang dianggotai pegawai-pegawai KPM, JPN, PPD dan pelbagai agensi kerajaan yang terlibat. Saya dapat menimba pengalaman berharga apabila terlibat secara langsung merancang, melaksanakan dan menilai dari awal hingga selesai majlis perasmian sekolah yang disempurnakan oleh Paduka Seri Sultan Perak pada 21 Mei 1996, malah saya sendiri yang menyediakan teks titah ucapan perasmian oleh baginda Sultan.
Kejayaan lain yang dicapai ketika berkhidmat di SMKA Slim River dari tahun 1993 hingga 1999 adalah seperti berikut;
1. Johan Bola Sepak Senior PSKPP peringkat Negeri Perak tahun 1993.
2. Menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 1995.
3. Menerima Ijazah Sarjana Pendidikan (M.Ed) dari USM tahun 1997.
4. Johan Pertandingan Menulis Esei Hari Guru peringkat kebangsaan tahun 1997.
5. SPM no. 5 terbaik di Malaysia tahun 1998.
6. Johan pertandingan membina laman web anjuran Utusan Malaysia tahun 1999.
7. Banyak lagi kenangan manis yang tak sempat disenaraikan satu persatu.

Antara keistimewaan yang dirasai di SMKA Slim River ialah hubungan rapat dan mesra dengan bekas pelajar yang terjalin erat dari dulu hingga ke hari ini. Mereka menunjukkan rasa hormat dan penghargaan yang tinggi segala tunjuk ajar dan bimbingan saya kepada mereka dahulu. Saya turut berbangga mendengar khabar kejayaan mereka dalam pendidikan dan kerjaya. Yang lebih penting hasrat SMKA untuk melahirkan modal insan profesional islamik mula menampakkan hasilnya. Alhamdulillah. Semoga SMKA Slim River terus mencatat kejayaan cemerlang dalam akademik, kokurikulum, kepimpinan dan sahsiah.

7 comments:

  1. Salam cikgu Zabidi.
    Thaniah diatas pencapaian cikgu selama ini.

    Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Maaf Zahir dan Batin.

    Bekas anak didikmu.

    ReplyDelete
  2. Sebagai antara 167 pelajar tingkatan 4 yang melaporkan diri pada 4 Julai 1993, sesunggunya kami berbangga kerana diberi peluang dan ruang menimba ilmu dan pengalaman bersama.

    Sudah tentu, kenangan bergotong royong hampir setiap hari dan hujung minggu menyusun perabut bilik darjah dan asrama menjadi pengalaman terindah.

    Kepada semua warga pendidik SMKA Slim River... terima kasih atas bakti dan penat lelah kalian memgasuh kami menjadi insan.

    ReplyDelete
  3. Terima kasih Fadzil atas komen yang diberi. Saudara antara yang masih segar dalam ingatan saya. Kerja di mana sekarang.

    ReplyDelete
  4. Selamat menyambut hari lahir yang ke 45, 3/9/2010. Semoga sentiasa sejahtera....

    ReplyDelete
  5. terima kasih kerana masih ingat hari jadi saya ...

    ReplyDelete
  6. Mohamad Shaharil YunosOctober 16, 2010 at 11:05 AM

    assalamualaikum cikgu. saya juga adalah di antara pelajar kumpulan pertama tingkatan 4 1993. kehebatan cikgu memang diakui. kenangan cikgu mengajar bahasa melayu 5 khawarizmi 1994 tetap segar dalam ingatan. kenangan main bola dgn cikgu juga sukar dilupakan. semoga cikgu terus beroleh kejayaan cemerlang.

    ReplyDelete
  7. Terima kasih Cikgu...sesungguhnya mutiara yang kami kutip di SeMeKASri sangat berharga...mahfuz SMKASR SPM1998

    ReplyDelete

Saya amat hargai kiranya saudara dan saudari sudi mencoretkan sedikit ulasan dan komen membina terhadap apa-apa isu yang saya kemukakan. Terima kasih.